Ismail Sabri Mesti Fokus Pada Masalah Covid-19 Dan Ekonomi

Tahniah dari skuad Edisi Siasat kepada Dato’ Sri Ismail Sabri atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 9.

Perjalanan Ismail Sabri ke Putra Perdana ibarat sebuah filem yang mendebarkan.

Watak-watak utama ditonjolkan, tapi akhirnya watak ‘underdog’ yang tampil sebagai hero di saat akhir cerita.

Namun bagi Ismail Sabri, perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke 9 bukanlah pengakhiran kepada sebuah cerita tetapi ianya adalah permulaan.





Sebaik sahaja Ismail Sabri selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri, telah tersedia 2 cabaran yang sangat besar untuk beliau hadapi.

Jatuh bangun beliau sebagai Perdana Menteri dan UMNO, malah lebih dari itu, rakyat negara ini akan bergantung kepada kebijaksanaan dan kecekapan beliau menghadapi dan menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi negara yang sudah sangat tenat.





 

‘Kejayaan terbesar’ Mahiaddin sewaktu menerajui Kerajaan Perikatan Nasional ialah menangani masalah jangkitan pandemik Covid-19 yang sudah melanda negara hampir 20 bulan yang lalu, sejak di era Kerajaan Pakatan Harapan.

Sehari sebelum Ismail Sabri disahkan mendapat pencalonan terbanyak dari Ahli Parlimen, ‘buah tangan’ yang ditinggalkan oleh Mahiaddin kepada Ismail Sabri ialah lebih 1.5 juta kes Covid-19 yang masih aktif, jumlah kes kematian yang menghampiri 14 ribu rakyat Malaysia akibat dari jangkitan Covid-19 dan kes jangkitan harian Covid-19 yang secara konsisten mencatat angka melebihi 20 ribu kes sehari.

Masalah ini perlu mendapat perhatian khas dan mesti ditangani segera oleh Ismail Sabri sebaik sahaja melangkah ke pejabat Perdana Menteri.

Tiada istilah bulan madu bagi Ismail Sabri.





Kegagalan menangani pandemik Covid-19 adalah punca sebenar kejatuhan Mahiaddin dan membuatkan beliau tersingkir keluar dari Putra Perdana.

Rakyat sudah bosan terkurung di rumah dengan tiada pendapatan, hingga ribuan mengambil keputusan untuk membunuh diri akibat dari pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan, Proklamasi Darurat dan ‘Total Lockdown’ yang diperkenalkan oleh Mahiaddin.

Rakyat merasakan pengorbanan dan kerjasama yang mereka berikan adalah sia-sia kerana selepas begitu lama terkurung dengan pelbagai sekatan, namun kadar jangkitan kes baharu Covid-19 tidak menurun, malah berpuluh kali ganda meningkat.

Sekiranya Ismail Sabri dapat menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 dengan segera, maka masalah kedua negara iaitu ekonomi rakyat dan negara akan dapat dipacu semula.

Terjejasnya ekonomi mikro domestik negara adalah berkait rapat dengan pandemik Covid-19 di negara kita.





Bila rakyat terkurung, mereka tidak boleh berkerja dan kehilangan punca pendapatan dan ini menyebabkan kitaran ekonomi domestik kita menjadi kaku.

Malah industri IKS yang banyak membekalkan keperluan harian domestik juga terpaksa ditutup dan ini menyebabkan berlakunya keadaan permintaan barangan melebihi dari tawaran, akibatnya harga melambung tinggi dan ini membuka ruang yang cukup besar untuk berlaku inflasi.

Ketidakstabilan politik serta dasar luar negara regim Mahiaddin telah melenyapkan keyakinan pelabur asing di negara kita.

Kenyataan-kenyataan mengelirukan yang dibuat oleh menteri-menteri regim Mahiaddin membuatkan pelabur hilang keyakinan.

Kalau kita membaca kenyataan dari Menteri Kewangan atau Menteri MITI atau Menteri Ekonomi, kita akan didendangkan dengan kenyataan yang menggambarkan keadaan ekonomi negara berkembang dengan baik.





Hakikatnya, di mata dunia, Malaysia sedang menuju kepada kehancuran ekonomi.

Malah The Edge Markets melapurkan Flitch menganggarkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2021 adalah pada kadar 0%!!!

Baca di sini:

https://www.theedgemarkets.com/article/fitch-slashes-malaysia-growth-0-2021

Ini adalah keadaan yang cukup membimbangkan.

Ismail Sabri MESTI mendengar nasihat dari beberapa individu yang mempunyai kepakaran tetapi tiada kepentingan peribadi dalam mengawal pandemik Covid-19 dan juga ekonomi.

Jangan hanya mendengar pandangan sehala dari orang sekeliling beliau atau pun menteri kabinet beliau sahaja.

Pandangan itu mestilah diseimbangkan dengan nasihat serta pandangan dari pakar-pakar lain.

Kita ada ramai pakar perubatan yang khusus di dalam kawalan penyakit berjangkit, mintalah nasihat dari mereka dan jangan hanya terlalu bergantung kepada Ketua Pengarah Kesihatan yang sudah terbukti gagal mengawal jangkitan Covid-19.

Bukan skuad Edisi Siasat mahu memperkecilkan kredibiliti Dr Noor Hisham tapi sudah sampai masanya Ismail Sabri mendapatkan ‘fresh blood’ dari pihak lain.

Kita juga mempunyai beberapa orang mantan Menteri Kewangan yang diiktiraf dunia seperti Tengku Razaleigh Hamzah, DS Najib dan DS Anwar Ibrahim.

Mungkin mereka boleh dikumpulkan untuk memberikan solusi kepada masalah ekonomi negara.

Yang paling penting, janganlah dikekalkan barisan kabinet Perikatan Nasional di dalam kabinet Ismail Sabri kerana sudah terbukti mereka gagal.

Apa lagi kalau mahu mengambil Mahiaddin Md Yasin sebagai Menteri Mentor, benar kita boleh mengikut acuan Singapura yang mengambil mendiang Lee Kwan Yew sebagai Menteri Mentor, tetapi Lee Kwan Yew adalah individu yang membangunkan Singapura dari ‘nothing to something’, manakala Mahiaddin adalah individu yang menghancurkan negara dari ‘hero to zero’!!!

Congratulation and wish you all the best DS Ismail Sabri, do it right and we will support you.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker