Tiada Keperluan Pembentukan Kabinet Sebelum 7 September 2021

Sangat dikesali, apabila senario politik di Malaysia masih lagi tidak berubah dengan segala percaturan politik yang berebut kuasa dan jawatan.

Keadaan ini memberikan gambaran bahawa titah SPB YDP Agong seakan tidak dihiraukan oleh ahli politik.

Sangat jelas, SPB YDP Agong bertitah supaya kerajaan baharu yang akan dibentuk oleh Ismail Sabri mesti memberikan tumpuan sepenuhnya kepada 2 masalah utama yang sedang dihadapi oleh rakyat dan negara, iaitu masalah Covid-19 dan juga masalah ekonomi.

Dalam ucapan sulong sebagai Perdana Menteri ke 9, beliau juga telah menyeru semua pihak supaya mengenepikan dahulu segala perbezaan ideologi politik dan meminta supaya semua ahli politik berganding bahu bersama kerajaan untuk menyelesaikan segera 2 masalah utama negara yang sudah berlarutan lebih dari 20 bulan.





Tetapi, tidak lama selepas ucapan sulong Ismail Sabri, PPBM mengeluarkan siaran media rasmi yang menuntut supaya Ketua Penerangan PPBM, Azmin Ali dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri!!!

Kalau berdasarkan rekod perkhidmatan beliau, adakah Azmin Ali layak untuk diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Skuad Edisi Siasat ingin bertanya kepada PPBM, apakah keperluan mendesak untuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri?

Setakat artikel ini ditulis, tidak ada satu parti politik yang mengeluarkan kenyataan atau cadangan untuk membantu Ismail Sabri menyelesaikan masalah Covid-19 dan ekonomi, walau pun dalam ucapan sulong beliau, Ismail Sabri membuka ruang yang cukup luas kepada parti pembangkang untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara.





Kami di Edisi Siasat tidak nampak ada keperluan mendesak bagi Ismail Sabri membentuk atau mengumumkan kabinet baharu beliau.

Lebih elok sekiranya senarai kabinet baharu dibentuk dan diumumkan selepas 7 September 2021.

Sementara menunggu hingga terbentuknya kabinet baharu dibentuk, segala urusan pentadbiran boleh dilaksanakan oleh Ketua Setiausaha di kementerian masing-masing.

Seperti kebiasaan, kedatangan menteri baharu di mana-mana kementerian, hanya akan mengundang masalah kepada penjawat awam, kerana menteri baharu biasanya akan menukar dasar yang telah ditetapkan oleh menteri dari kerajaan terdahulu.

Manakala dasar-dasar yang terbukti tidak berkesan atau gagal, Ketua Setiausaha boleh berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara untuk diangkat terus kepada Perdana Menteri supaya dapat dilakukan tambah nilai kepada dasar berkenaan atau dimansuhkan terus tanpa ada campurtangan politik.





Edisi Siasat yakin, pentadbiran negara akan berjalan lebih lancar apabila perlaksanaan dasar akan menjadi lebih fokus apabila tidak ada keperluan untuk mendapatkan ‘political mileage’.

Sementara itu, pembentukan kabinet baharu boleh diumumkan selepas Ismail Sabri mendapat keabsahan di Dewan Rakyat.

Ini akan membolehkan Ismail Sabri menjadi lebih fokus kepada masalah utama negara dari memikirkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

Sekiranya kabinet diumumkan sebelum undian keabsahan beliau di Dewan Rakyat, ini akan menimbulkan semula keadaan politik yang tidak stabil.

Terlalu banyak tuntutan dan pertimbangan yang perlu diambil kira oleh Ismail Sabri.





Rakyat tidak mahu kabinet yang terlalu besar seperti di era Perikatan Nasional kerana ianya hanya akan menipiskan lagi kantong kewangan negara yang kini berada di dalam keadaan yang cukup tenat.

Tetapi di pihak ahli politik pula, mereka mengharapkan laba dari sokongan yang mereka berikan kepada Ismail Sabri dan telah terdengar khabar angin yang mengatakan, seandainya tuntutan mereka tidak dipenuhi, mereka akan mengumumkan menarik semula sokongan kepada Ismail Sabri.

Apakah mereka tidak tahu atau sengaja tidak mahu ambil tahu, sekiranya ini berlaku, sekali lagi negara akan berhadapan dengan krisis politik dan ianya akan menjadi ‘non end story’.

Rakyat sudah bosan dengan karenah ahli politik, pelabur luar dan dunia luar sudah hilang keyakinan terhadap Malaysia akibat dari onar yang dilakukan oleh ahli politik!!!

Bagi Edisi Siasat, cara yang terbaik bagi Ismail Sabri ialah tangguhkan dahulu pembentukan kabinet sehingga selepas 7 September 2021 atau lebih baik lagi, tangguhkan hingga ke akhir penggal, bulan Mei 2023.





 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker