Bekas pengarah pusat penyelidikan didakwa buat tuntutan palsu

KUALA TERENGGANU – Bekas Pengarah Pusat Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Dungun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengemukakan enam tuntutan palsu berkaitan kerja pembekalan dianggarkan berjumlah RM64,100 dalam kejadian tiga tahun lalu.

Syed Abdullah Syed Abdul Kadir, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dazuki Ali pada Selasa.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.





Pada masa sama, dua lagi tertuduh iaitu Azlin Md Ashaari, 54, dan Muhammad Azmi Abdullah, 43, yang merupakan pengurus di syarikat masing-masing didakwa di bawah Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009 di mahkamah sama.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan tertuduh pertama yang mengemukakan tuntutan palsu.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua-duanya direkodkan, Azlin yang berdepan satu pertuduhan dibenarkan untuk dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 bersama seorang penjamin.

Bagi Muhammad Azmi yang berdepan tiga pertuduhan, mahkamah menetapkan dia dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi keseluruhan pertuduhan.

Mahkamah turut mengarahkan kesemua tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM pada 1 hingga 5 hari bulan setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada SPRM.





Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut menetapkan 21 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan serahan dokumen serta lantikan peguam.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker