‘Memang susah nak cari makan sekarang, tak macam dulu’

 

TEMERLOH – Rata-rata pemandu teksi di Temerloh mengakui mereka sukar menjana pendapatan sejak pandemik Covid-19 melanda negara lebih setahun lalu.

S.Gunasekaran, 44, kini hanya mampu merenung nasib pemandu teksi atau kereta sewa seperti mereka dalam suasana pandemik Covid-19 masih belum pulih.





“Memang susah nak cari makan sekarang, tak macam dulu,” kata lelaki yang sudah berkeluarga itu.

Bekas pemandu lori itu baru empat tahun membawa kereta sewa selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Situasi masih sama walaupun memang ada kelonggaran prosedur operasi standard (SOP), memang payah nak dapat penumpang.

“Pernah dari pagi hingga jam 2 petang, saya baru dapat RM10 berbanding mereka yang menawarkan perkhidmatan teksi bermeter boleh dapat lebih,” kata lelaki berasal dari Temerloh itu kepada Sinar Harian pada Selasa.

Reaksi sama turut diluahkan oleh pemandu teksi, Nasaruddin Abdullah, 39.





“Macam kami yang beroperasi di kawasan tumpuan utama di kawasan terminal bas khususnya, masih boleh mendapat penumpang kerana ada yang memerlukan perkhidmatan teksi atau kereta sewa,” ujar lelaki berasal dari Temerloh itu.

Bagaimanapun, dia berharap perkhidmatan bas dibenarkan beroperasi khususnya di kawasan pedalaman.

Kedua-duanya adalah antara 30 ahli Persatuan Kereta Sewa dan Tuan Punya Temerloh yang menerima bantuan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh menerusi serahan kotak makanan bagi kepada golongan terbabit.

Kotak makanan tersebut disampaikan oleh wakil pusat khidmat, Fakarudy Kamarizan pada Selasa.

Ujar Fakarudy, selepas ini, pusat khidmat terbabit akan membantu pemandu bas yang terjejas mengikut penggiliran yang disusun oleh pusat tersebut.





“Setakat ini, daripada 6,000 kota makanan, sebanyak 97 peratus telah diagihkan kepada pelbagai golongan masyarakat di Parlimen ini,” ujar beliau pelbagai golongan telah mendapat bantuan kotak makanan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker