AS, China bertikam lidah isu laut yang dipertikaikan

AS, China bertikam lidah isu laut yang dipertikaikan Naib Presiden AS, Kamala Harris (kanan) menghadiri pelancaran rasmi pejabat CDC wilayah Asia Tenggara di Hanoi. – Foto AFP

HANOI: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris hari ini berkata negara itu akan mencari kaedah baharu untuk meningkatkan tekanan ke atas Beijing selepas menuduh China melakukan buli di perairan Asia untuk kali kedua dalam tempoh dua hari.

Harris membuat kenyataan itu ketika beliau memulakan kunjungan ke Vietnam untuk menekankan komitmen AS terhadap Asia.

Ketika pertemuan dengan Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc, Harris berkata AS akan terus mencabar tuntutan maritim yang keterlaluan di Laut China Selatan.

“Kita perlu mencari cara untuk menekan dan meningkatkan tekanan, supaya Beijing mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Undang-Undang Laut,” katanya.






Ketika kunjungan ke Singapura yang berakhir semalam, Harris menuduh China melakukan ugutan ke atas laluan air yang kaya dengan sumber.

China membalas tuduhan itu melalui media negaranya hari ini, dengan menuduh AS hipokrit dalam usaha untuk memaksa dan menakut-nakutkan negara-negara di wilayah itu dalam rancangan untuk mengekang China.

Kedatangan Harris ke Vietnam sebelum ini tertangguh susulan apa yang disifatkan oleh pegawai AS sebagai ‘insiden kesihatan yang tidak normal’ di Hanoi, dengan merujuk kepada ‘sindrom Havana’ yang telah menimpa diplomat AS di beberapa negara termasuk China dan Russia.

Tidak jelas apa yang menyebabkan sindrom itu, yang membawa kepada tuduhan yang tidak terbukti bahawa orang Russia atau pihak lain menggunakan alat elektronik intensiti tinggi untuk membahayakan diplomat AS secara fizikal.

Kunjungan Harris ke Vietnam dalam siri lawatan di Asia mencetuskan kritikan selepas pemindahan keluar AS dari Kabul yang kacau-bilau.





Situasi itu menyebabkan ia dibandingkan dengan trauma Saigon pada tahun 1975, ketika helikopter AS membawa keluar orang terakhir dari bumbung kedutaan pada hari terakhir Perang Vietnam.

Harris sebaliknya menekankan komitmen Washington terhadap Asia Tenggara ketika membuka cawangan serantau Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Hanoi.

Beliau berkata, sumbangan sejuta dos vaksin Pfizer akan mula tiba di Vietnam dalam tempoh 24 jam, yang sebelum ini sudah menyumbangkan lima juta dos ke negara itu.

Di Singapura, Harris berkata, Beijing akan terus memaksa, mengugut dan membuat tuntutan yang tidak masuk akal ke atas kawasan yang besar di Laut China Selatan. – AFP

https://edisisiasat.com/2021/08/25/tatkala-ribuan-tinggalkan-afghanistan-sebahagian-pelarian-mahu-kembali/





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker