DRAMA bersiri Ali Alia penuh konflik dan kasih sayang

Ali Alia penuh konflik

DRAMA bersiri Ali Alia adalah karya yang mengangkat genre kekeluargaan dan hubungan kasih sayang yang memaparkan kisah pasangan suami isteri, Amir lakonan Rusdi Ramli dan Mazni (Faezah Elai) yang dihimpit dengan kemelut rumah tangga sehingga mahu bercerai.

Keputusan itu menjadi titik punca yang menyebabkan anak mereka, Ali (Fimie Don) dan adik kembarnya yang juga menghidap autisme, Alia (Erynne Erynna) lari dari rumah kerana amat tertekan dengan pertelingkahan yang berlaku antara ibu bapa mereka.

Drama 13 episod idea terbitan syarikat produksi, Luqsar Kreatif Sdn Bhd itu dicetuskan oleh bekas pengacara, penyanyi dan pelakon terkenal era 1990-an yang kini aktif dalam bidang penulisan dan pengarahan iaitu Rina Khan.

Pengarahnya, Heykal Hanifah berkata, Ali Alia dianggap karya ‘comeback’nya di saluran Astro selepas 11 tahun tidak menerbit atau mengarah untuk stesen TV itu.





“Selepas 11 tahun tidak menghasilkan sebarang karya untuk Astro, saya amat teruja dengan ‘comeback’ menerusi naskhah ini yang sesuai ditonton segenap lapisan masyarakat. Kekuatan drama ini terletak kepada plot penceritaan, skrip dan lakon layar yang realistik.

“Walaupun agak berat dan penuh konflik, namun dekat dengan hati penonton kerana ia mengetengahkan hubungan kekeluargaan serta kasih sayang antara adik-beradik kembar dan ibu bapa.

“Saya amat gembira dengan keserasian barisan pelakon hebat yang terbabit dalam menjayakan drama ini. Kriteria pemilihan pelakon bukan berdasarkan populariti, tetapi mengikut tuntutan karya asal yang diilhamkan oleh Rina Khan. Walaupun mereka tidak mempunyai jumlah pengikut yang ramai di Instagram, namun rata-rata pernah menang anugerah dalam bidang lakonan,” katanya.

Menurut Heykal, mesej utama yang ingin disampaikan menerusi naskhah itu adalah mengenai kepentingan hubungan kekeluargaan.

“Jika ibu bapa saling berantakan, ia pasti mengundang masalah kepada seluruh keluarga sehingga berpecah belah. Namun, segala perselisihan dapat diketepikan untuk kembali bersatu demi kepentingan anak-anak tercinta yang menjadi keutamaan. Selain itu, gambaran suka duka membesarkan anak autisme kurniaan Allah SWT yang boleh menjadi kunci untuk kita masuk syurga turut dipaparkan.

“Sebagai ibu bapa, jangan sesekali kita mempersiakan tanggungjawab yang diberi kerana implikasinya amat besar. Sekiranya ada masalah atau tertekan, ambil pendekatan yang baik. Pengajaran positif yang disuntik dalam drama ini boleh dijadikan sebagai inspirasi, panduan dan teladan, sementara yang buruk pula hendaklah dijadikan sempadan. Saya berharap supaya drama ini akan beri impak positif, sekali gus memikat hati penonton,” katanya.





Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, selain menonjolkan realiti konflik rumah tangga yang sudah menjadi resam dalam kehidupan, drama Ali Alia berbeza dengan drama sebelum ini yang ditayangkan di slot sama.

“Selepas berakhirnya drama Siapa Jaga Mak, kami dengan berbesar hati membawakan sebuah lagi drama hebat dengan kisah serba baharu yang masih mengangkat kepentingan institusi kekeluargaan bagi mengisi slot Tiara di Astro Prima.

“Hal ini secara langsung dapat mendidik orang ramai mengenai kesedaran bagi masalah autisme, sekali gus memberi lebih pendedahan mengenai keadaan itu kerana golongan istimewa ini melihat dunia dengan cara yang berbeza serta perlukan perhatian yang berlainan.

“Selain itu, kisah Ali Alia juga boleh dijadikan iktibar terutama dalam memperbaiki keharmonian hubungan antara suami isteri kerana setiap rumah tangga ada pasang surutnya. Apabila keluarga bahagia, anak-anak turut gembira dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Selain Rusdi, Faezah, Fimi Don serta Erynne selaku teraju utama, ia turut dibintangi Fahrin Ahmad, Usop Wilcha, Sabrina Ali, Faradhiya, Rashid Jaafar, Sharifah Juairiah, Jay Iswazir, Kodi Rasheed dan Mior Hashim Manap.

Drama ini ditayangkan menerusi slot Tiara setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang mulai semalam di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.





Artikel Menarik :

Lawati Laman Facebook Kami

https://edisisiasat.com/2021/08/24/ashira-tampil-berhijab-mohon-doa-supaya-kekal/

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker