Pandelela pun bagi cenderamata

Pandelela pun bagi cenderamata

Kuala Lumpur: Dalam usaha menghargai peminat serta pengikut di laman sosial, penerjun negara Pandelela Rinong sedia berkongsi cenderamata yang dibelinya ketika bertanding pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penerjun negara berusia 28 tahun itu mengikut jejak gandingannya dalam acara 10 meter platform seirama wanita Leong Mun Yee yang menghadiahkan peminat dengan beberapa barangan cenderahati dari Jepun baru-baru ini.

Pandelela yang menghuni tangga ke-12 bersama Mun Yee dalam acara itu, mendedahkan dia mengambil masa dua minggu untuk membaca komen peminat dan warganet yang sekali gus menguatkan semangatnya untuk terus memberikan persembahan terbaik di pentas antarabangsa.

“Lihat cenderamata yang saya dapat dari Tokyo 2020. Saya mengambil masa dua minggu untuk membaca kata semangat serta ucapan selamat dari anda dalam Instagram/Facebook – ia membuatkan saya terhibur sepanjang tempoh kuarantin.

“Sebagai menghargai semua ini, saya mahu menghadiahkan semua cenderamata ini kepada komen yang amat menyentuh hati saya. Selain itu, saya mahu anda memberikan komen bagaimana Sukan Olimpik Tokyo 2020 memberi impak kepada kehidupan anda. Komen terbaik turut berpeluang menang cenderamata ini,” tulisnya dalam akaun Instagram miliknya.

Peminat dan warganet pantas memberi reaksi positif terhadap tawaran Pandelela, yang menduduki tangga kelapan pada pertandingan akhir acara 10m platform individu di Tokyo 2020 dan kini mempunyai 383,000 pengikut di laman Instagram.





“Duduk rumah sangat bosan dan sendu, sekali layan Olimpik memang meriah gila, korang memang menakjubkan, saya layan sejak dari upacara pembukaan lagi. Jalur Gemilang berkibar dan pakaian tradisional pada waktu itu amat memberi aura dan membuat kami bangga dengan kalian, tapi yang membuatkan kami rakyat Malaysia sayu bila mana kebanyakan atlet kita menangis selepas pertandingan, kami pun turut sebak,” komen seorang peminat sukan @naimatulnajwa.

Seorang warganet @frhnaisha_ pula berkata: “Sukan Olimpik Tokyo 2020 benar-benar memberi impak dalam kehidupan saya dan saya berasa sedih apabila melihat semua usaha Olimpian yang membawa nama Malaysia di mata dunia. Kalah atau menang pastinya sesuatu yang biasa dalam permainan dan ia sepatutnya menjadi pengajaran dan pengalaman berguna untuk meraih impian kita pada masa depan. Semangat yang ditunjukkan semua Olimpian menjadi contoh buat saya supaya bersemangat untuk memenuhi impian pada masa depan.”

“Buat Pandelela, anda tahu saya sudah mengikuti perkembangan anda sejak 2016 menjelang Olimpik Rio. Sejak itu anda adalah inspirasi saya kerana anda atlet yang kuat dan merendah diri. Saya bangga dengan anda kerana semangat berjuang demi negara, apatah lagi ketika pandemik, anda adalah wira negara, jumpa lagi di Olimpik 2024,” tulis @diera.d1 yang mengharapkan dia akan menerima hadiah daripada penerjun itu.

Pandelela, yang menamatkan kuarantin wajib di Kuala Lumpur awal minggu ini, merangkul pingat gangsa acara 10m platform individu di London 2012 dan perak bersama Cheong Jun Hoong acara 10m platform seirama pada temasya Rio 2016.


Artikel Menarik :

Lawati Laman Facebook Kami






https://edisisiasat.com/2021/08/25/pfm-kesal-iklan-hari-kemerdekaan-berbaur-perkauman/

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker