Harris akhiri lawatan Asia dengan ‘amaran’ terhadap China

Harris akhiri lawatan Asia dengan 'amaran' terhadap China
HANOI: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris melancarkan ‘amaran’ baharu terhadap China ketika beliau mengakhiri lawatannya ke Asia Tenggara di Hanoi hari ini, memperingatkan AS akan terus menolak tuntutan Beijing di perairan Asia yang dipertikaikan.

Komen itu hadir pada hari terakhir perjalanan serantau di mana Washington telah berusaha untuk mengatur semula hubungan di Asia selepas bergolak selama bertahun-tahun di bawah pentadbiran bekas presiden, Donald Trump dan menekankan komitmennya kepada sekutu Asia Tenggara.

Dalam perjalanan itu, Harris telah dua kali menuduh Beijing membuli jiran-jirannya di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber – dan hari ini beliau sekali lagi memberi ‘amaran’ kepada gergasi Asia itu.

“Kami akan bersuara apabila ada tindakan yang diambil oleh Beijing yang mengancam peraturan antarabangsa berdasarkan undang-undang… seperti aktiviti di Laut China Selatan,” kata Harris.

Kunjungan Harris ke Vietnam telah diselar oleh pengkritik sebagai nada-bisu berdasarkan situasi berbeza ekoran keadaan huru-hara di Kabul minggu ini dan pemindahan dari Saigon (Ho Chi Minh) pada 1975.





Washington juga berdepan soalan mengenai kebolehpercayaan terhadapnya berikutan penarikan diri oleh AS dan pengambilalihan Taliban di Afghanistan.

Namun, Harris telah berusaha untuk menghindari persamaan sejarah, sebaliknya menekankan komitmen Amerika terhadap rantau ini dengan membuka cawangan Pusat Kawalan Penyakit AS (CDC) Asia Tenggara di Hanoi dan menyumbangkan sejuta vaksin COVID-19 kepada Vietnam.

“Pada tahun-tahun mendatang kami akan kembali lagi dan lagi,” katanya kepada wartawan hari ini.

Vietnam menghadapi gelombang pandemik COVID-19 paling serius setakat ini – dengan pusat bandar Hanoi dan hab komersial Ho Chi Minh, masing-masing di bawah perintah sekatan pergerakan.

Harris hari ini menegaskan bahawa AS ‘tidak mencari konflik’ dengan Beijing, tetapi akan ‘melakukan apa yang kami mampu untuk memastikan tetap komited dengan rakan kami’ dalam isu-isu seperti Laut China Selatan.





Empat negara Asia Tenggara termasuk Vietnam mempunyai tuntutan bertindih atas laluan air yang membabitkan nilai trilion dolar dalam perdagangan perkapalan setiap tahun.

China dituduh menggunakan peralatan ketenteraan termasuk peluru berpandu antikapal dan permukaan-ke-udara di sana, serta mengabaikan keputusan tribunal antarabangsa 2016 yang menolak tuntutan sejarahnya atas sebahagian besar perairan.

Di Singapura, Harris menyatakan Beijing ‘terus menggertak, memaksa’ di Laut China Selatan – mendorong China untuk memberi reaksi balas bahawa AS bersalah atas tindakannya ‘membuli, perangai menguasai’.

Keesokan harinya Harris mengingatkan bahawa AS akan ‘mencari cara baru untuk menekan Beijing’.

Harris adalah pegawai atasan terbaru dari pentadbiran Presiden Joe Biden yang mengunjungi rantau ini untuk meyakinkan sekutu AS mengenai kegigihan dan komitmen negara itu. – AFP






Artikel Menarik :

Lawati Laman Facebook Kami


https://edisisiasat.com/2021/08/27/kren-runtuh-lapan-maut-di-nairobi/

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker