Tentera Australia sempat keluar Afghanistan sebelum serangan

SYDNEY: Kesemua tentera Australia sempat keluar dari Afghanistan, sejurus sebelum insiden serangan bom di lapangan terbang di Kabul, semalam.
Tindakan itu diambil susulan penerimaan ‘maklumat perisikan amat jelas’ mengenai serangan bakal berlaku menjelang kejadian terbabit.
“Kami berjaya memastikan baki personel Australia dibawa keluar, tidak berapa lama sebelum insiden dahsyat itu berlaku,” kata Perdana Menteri, Scott Morrison, pada satu sidang media.
Morrison memaklumkan sepanjang tempoh sembilan hari, tentera Amerika Syarikat (AS) dan Britain telah membantu pasukan Australia memindah keluar kira-kira 4,100 orang, termasuk 3,200 rakyat Australia serta warga Afghanistan yang memiliki visa negara ini.
Beliau berkata, Australia sudah menyelesaikan operasinya itu dan kini berada dalam ‘fasa pascapemindahan.’
Sementara itu Menteri Pertahanan, Peter Dutton, berkata pihak berkuasa Australia menghantar amaran menerusi mesej teks, semalam, kepada warga Australia serta mereka yang berada di kawasan serangan.
Ketika itu, beliau berkata, pihaknya menerima maklumat perisikan amat jelas bahawa terdapat kumpulan tertentu akan melancarkan serangan teruk.
“Mereka adalah golongan yang lebih ekstrem dan pada dasarnya, sedang berperang dengan Taliban. Ia adalah keadaan rumit yang teruk.
“Saya amat lega tentera kita sudah berlepas dari Kabul dan kami memutuskan untuk membawa keluar kumpulan terakhir warga kita, semalam. Mereka kini berada dalam keadaan selamat di Emiriah Arab Bersatu,” katanya.
Australia menempatkan kira-kira 39,000 tentera di Afghanistan sejak dua dekad lalu, sebagai sebahagian daripada operasi diterajui Organisasi Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bersama AS.
Dutton berkata, tentera daripada Pasukan Pertahanan Australia (ADF) kini menghentikan operasi pemindahan keluar berikutan peningkatan ancaman keselamatan di lapangan.
“Dalam situasi itu, kami tidak boleh berterusan meletak personel ADF dan nyawa mereka dalam risiko. Keadaan ketika ini tidak membolehkan kami membawa keluar lebih ramai orang lagi,” katanya.
Beliau sekali gus memberi amaran berdasarkan maklumat perisikan mengenai ancaman serangan lanjut, dengan orang ramai harus sangat berwaspada. – AFP
Artikel Menarik :
- Mahkamah Rayuan tangguh pendengaran kes tuntutan RM10.3 juta LHDN dari anak perempuan Najib
- Yang Mana Akan Menjadi Keutamaan Pembentukan Kabinet Ismail Sabri; Rakyat Atau Sokongan MP
- BILA JAMAL ABDILLAH NAMPAK MUDA BERGAYA DENGAN KERETA MEWAH
Lawati Laman Facebook Kami
https://edisisiasat.com/2021/08/28/letupan-depoh-senjata-kazakhstan-5-maut-80-cedera/