Rindu menyanyi menebal : Misha Omar

Rindu menyanyi menebal : Misha Omar

Hampir dua tahun pandemik Covid-19 menular di negara ini dan seluruh dunia, industri hiburan tempatan terutama bidang nyanyian terjejas agak teruk disebabkan tiada tawaran persembahan.

Malah, penganjuran konsert di stadium atau secara terbuka tidak dibenarkan langsung bagi mengelak penonton berkumpul kecuali persembahan hiburan nyanyian dari rumah.

Bagi penyanyi terkenal, Misha Omar, 39, dia mengakui amat merindui suasana menyanyi yang dahulu. Katanya, diam tak diam sudah hampir dua tahun pergerakan dan urusan kerja insan seni berdepan kekangan akibat wabak ini.

“Perasaan rindu menyanyi dan nak hiburkan penonton sangat menebal di hati saya. Namun, penularan Covid-19 ini membuatkan kita semua sedia maklum bahawa duduk dan bekerja di rumah adalah lebih selamat.





“Apapun, saya teruja dipilih menjadi antara penyanyi yang akan menghiburkan penonton dalam Program Amal COVAiD #BaikSemula anjuran Media Prima Audio (MPA) pada 4 September ini secara virtual,” katanya.

 


Disyorkan Untuk Anda :

Menurut penyanyi lagu Bunga Bunga Cinta ini, dia akan berusaha memberi persembahan nyanyian terbaik buat penonton meskipun segala urusan kerja rakaman perlu dibuatnya sendiri dari rumah.

Bagaimanapun, Misha tidak menafikan cabaran besar bakal dihadapinya untuk menjayakan persembahan itu nanti kerana segala persiapan perlu disediakan sendiri termasuk keperluan instrumen.

“Saya akui agak sangat mencabar untuk diri sendiri apabila perlu membuat persembahan ini dari rumah. Ini kerana, selama bergelar penyanyi saya selalunya hanya membawa suara sebagai instrumen.





“Sekarang, cara kerja memang sudah lain kerana berlaku perubahan besar bila mana saya serta penyanyi lain perlu membuat persediaan sendiri untuk persembahan kami dan ini pegalaman baharu.

“Macam saya, memang terasa ia cabaran besar kerana kawasan rumah saya sangat berhampiran jalan raya, sememangnya gangguan utama apabila beraksi adalah bunyi kenderaan,” katanya.

Menurut Misha, sudah tentu proses rakaman lagu yang akan dibuatnya perlu diulang beberapa kali bagi memastikan tiada sebarang bunyi akan mengganggu persembahan berkenaan.

“Namun, biar apa saja cabaran dihadapi, saya tetap bersemangat dan berkobar-kobar mahu membuat persembahan ini terbaik buat penonton. Saya yakin mampu menghiburkan mereka.

Harapan saya, semoga Program Amal COVAiD #BaikSemula ini mendapat sambutan baik penonton. Apatah lagi, ada ramai penyanyi yang terbabit dan pastinya lagu dinyanyikan nanti sangat mesra pendengar.





Selain Misha, barisan penyanyi popular lain yang terbabit ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Siti Nordiana, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Hael Husaini dan Hazama and The Penglipurlara.

Tidak ketinggalan juga, kemunculan Yonnyboii, Bunkface, SonaOne, Masdo, Ara Johari, Sufian Suhaimi, Nabila Razali, Ernie Zakri, Syamel, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Bagi memantapkan lagi persembahan istimewa ini, ia turut disertai Zynakal, Tuju, Alif Satar & The Locos, Adrian, Adly, Erulxnaufa, Kael, Evie, Apex, Pasya Mentor, Sissy Iman dan Marsha Milan.

Bantuan dana ‘frontliner’

Menyedari kesan besar dan mendalam dihadapi kebanyakan rakyat Malaysia akibat pandemik ini, apapun tonggak utama dalam memastikan sistem kesihatan negara kembali pulih adalah kecekalan semangat petugas barisan hadapan.

Sejak tahun lalu, mereka sudah berjuang hingga kini tanpa mengenal penat lelah dengan beban tanggungjawab yang berat. Justeru, pengorbanan mereka perlu dibalas dengan bantuan sumbangan dihulurkan.





Misha berkata, dia sangat percaya Program Amal COVAiD #BaikSemula mampu menghasilkan gelombang besar bagi mengumpul dana buat petugas barisan hadapan dan mereka yang terkesan dengan virus ini.

“Saya bersama rakan penyanyi yang lain bersemangat untuk menghulurkan bantuan kami dengan memberi persembahan terbaik dan menghiburkan buat orang ramai sambil mereka menderma.

“Saya percaya menerusi gabungan suara kami juga, Insya-Allah dapat menghasilkan gelombang besar dalam mengumpul dana diperlukan misi khas dan istimewa ini.

“Jasa dan sumbangan dicurahkan ‘frontliner’ kita sangat besar, memandangkan musuh yang masih dilawan pada ketika ini terlalu halus dan tak mampu dilihat dengan mata kasar. Bahkan, sudah ramai pada kalangan kita terkorban,” katanya.

Sehubungan itu, seramai 43 penyanyi popular tanah air akan membuat persembahan dalam Program Amal COVAiD #BaikSemula yang disiarkan secara langsung di akaun YouTube Hot FM, Hot TV selama 24 jam bermula 12 tengah malam.





Untuk sumbangan, orang ramai boleh membuatnya secara perbankan dalam talian atau menerusi deposit ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP di nombor akaun (MAYBANK: 5141-0532-3170).


Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook Kami

https://edisisiasat.com/2021/08/30/ezza-sanggup-dimadukan-remy-ishak/

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker