Anak papa mahu kerja keras

'Anak papa mahu kerja keras'

Anak papa mahu kerja keras

KUALA LUMPUR: Sejak bertapak dalam dunia seni, tatkala mempertaruhkan bakat dalam musim kelima program realiti, Akademi Fantasi (AF5) pada 2007, Dafi tidak pernah lari daripada dikaitkan dengan bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan, baru-baru ini.

Sejak bersaing di pentas AF5 sehingga karier seni penyanyi dan pelakon ini berkembang mekar, Dafi menyaksikan bapa yang dipanggil papa melalui pelbagai episod dalam karier politik dan pentadbiran kerajaan, bermula dengan Ahli Parlimen Bera pada 2004 sehingga beberapa kali dilantik Menteri Kabinet dan Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai lalu.

Dafi mengaku sebagai anak kepada ahli politik, apatah lagi selepas dilantik Perdana Menteri, dirinya terus dibayangi papa.





Hakikatnya, penyanyi lagu Bila Terasa Rindu ini sukar mengelak, betah dan belajar membiasakan diri dengan perhatian yang diberi sebagai ‘anak PM’.

Namun, sejak dahulu lagi, Dafi atau nama penuh, Gadaffi Ismail Sabri tidak pernah mendabik dada, jauh sekali mengambil kesempatan daripada kedudukan papa sebagai ahli politik dalam merencana perjalanan karier seni.

Sebaliknya, jejaka berusia 32 tahun ini mahu terus positif, mendisiplinkan diri dan cuba melakukan refleksi dalam menentukan hala tuju sebagai anak seni.

“Tidak kira jawatan apa sekalipun dan hakikat papa terus dikaitkan dalam kerjaya seni yang diceburi, saya tetap Dafi yang sama… Tiada apa yang berubah.

“Pastinya, saya kena jaga nama baik papa, keluarga dan menjaga tingkah laku diri.

“Saya sudah biasa dengan senario ini. Malah, secara semula jadi, semuanya bagai tabiat untuk terus menjadi baik.





“Semua tekanan atau pandangan skeptikal yang diberi segelintir pihak, saya anggap sebagai sesuatu yang positif,” katanya kepada BH Online.

Dafi mengaku sering mengingatkan diri agar tidak mengambil kesempatan atas mandat atau jawatan dimiliki papa.

Malah, anak kedua daripada empat beradik ini meniti kehidupan harian seperti biasa dan sedia berdepan cabaran mendatang.

“Saya tidak boleh halang orang bercakap itu dan ini baik kepada diri saya atau papa. Tetapi saya kena belajar perkara ini di mana kita sendiri sendiri yang menentukan bagaimana orang luar memandang kita.


Disyorkan Untuk Anda :


“Pastinya orang yang tak kenal akan anggap saya begitu atau begini. Tetapi hakikatnya, semua manusia sama. Saya tidak fikir detik ini atau situasi semasa menjadikan diri ini ‘poyo’ atau berlagak.





“Apa yang pasti, saya mahu terus bekerja keras dalam meneruskan survival dan minat diri ini (dalam dunia seni),” katanya.

Ditanya harapan yang disandarkan rakyat kepada bapanya, sama seperti orang lain, Dafi mahu semua permasalahan dalam negara ditangani dengan baik.

“Pastinya saya harap papa boleh menyelesaikan isu berbangkit dengan segera termasuk situasi berkaitan pandemik COVID-19.

“Saya juga harap dapat kembali bekerja seperti biasa dalam norma baharu… Rakyat juga impikan perkara sama.

“Semua orang hendak kembali bekerja meneruskan kelangsungan hidup. Saya harap papa dapat melayan semua orang sama rata sebaik mungkin.

“Saya harap semua pihak menyokong papa meneruskan mandat dengan penuh bertanggungjawab dan dedikasi,” katanya.





Tambah Dafi, sejak lebih seminggu papa menggalas mandat besar itu, masa diluangkan papa bersama anak-anak terbatas.

“Dalam seminggu, adalah jumpa papa dalam tiga atau empat kali. Kebiasaannya, sebelum tidur, papa datang melepak di bilik saya.

“Sesekali, adik-adik saya akan turut bersama. Papa selalunya akan meluangkan masa kira-kira setengah jam. Tetapi kalau ada topik menarik untuk dibualkan, boleh jadi sampai sejam.

“Kalau ada perkara yang hendak dikongsi dengan papa, kami hantar paparan skrin ke dalam kumpulan WhatsApp keluarga,” katanya.

Dafi memuji cara penyanyi, Najwa Mahiaddin yang juga anak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menangani situasi sama, sebelum ini.





“Saya lihat Najwa mengambil pendekatan berkecuali atau kurang ‘bunyi’. Bagus cara beliau tangani kecaman dan perkara berkaitan rasa tidak puas hati yang dilemparkan kepada bapanya.

“Kalau Najwa bertindak sebaliknya, barangkali akan jadi lebih parah. Saya tidak mahu jadi punca papa ‘stress’ kerana hal rakyat.

“Banyak perkara saya perlu hati-hati termasuk memuat naik entri dalam media sosial. Tertekan juga kena fikir pandangan orang luar terhadap apa yang saya buat atau kongsi dalam media sosial.

“Namun, mahu atau tidak, saya kena membiasakan diri dalam hal itu,” katanya.


Disyorkan Untuk Anda :


Mengintai sisi kerjaya seni yang menginjak 14 tahun, Dafi mahu terus berusaha merealisasikan impian.

Malah, selepas empat tahun tidak merakam lagu baharu, Dafi yang kali terakhir muncul dengan single Girl, bercadang menghasilkan bingkisan baharu.

“Saya kena produktif semula dalam dunia nyanyian dan cari material bagus segera. Tidak boleh terkial-kial. Usah tunggu bila boleh mula kerja, baru hendak cari lagu.

“Biar ada material dan apabila kerja seni dibenarkan, terus rakam,” katanya.

Dafi bercadang merakamkan lagu tempo rancak.

“Ramai pilih genre cinta atau elemen mendayu-dayu. Saya mahu karya yang boleh suntik semangat dan ada mesej universal,” katanya.

Dafi juga terbuka untuk menerima idea dan input komposer baharu dan lama.

“Saya tidak keberatan menggunakan khidmat komposer, Hael Husaini yang sebelum ini mencipta lagu Girl. Kalau dapat sentuhan Yonnyboii dan komposer seangkatan pun okay,” katanya.

Ditanya perkembangan projek rakaman album dengan komposer dan penyanyi Indonesia, Ahmad Dhani yang pernah diumumkan, Dafi berkata:

“Projek itu terbengkalai biarpun sudah 10 lagu dirakamkan. Namun, projek akan diteruskan apabila tiba masa sesuai.

“Cuma nampak gayanya, lagu yang dirakam perlu diberi nafas baharu termasuk susunan semula.

“Muzik sentiasa beredar. Lagu yang dirakam beberapa tahun lalu barangkali sudah tidak sesuai. Memang kena ‘touch up’ apa yang patut,” katanya.

Dafi berkata, baru-baru ini dia muncul dalam filem Ada Hantu arahan Hairul Azreen yang ditayangkan di platform digital, Disney+ Hotstar.

“Saya juga ada projek lakonan dan tawaran baharu namun belum memulakan penggambaran kerana pandemik COVID-19,” katanya.

Anak papa mahu kerja keras


Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook Kami


https://edisisiasat.com/2021/08/31/sharnaaz-mahu-jadi-yang-terbaik-untuk-jebat/

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker