Tokan Kek Dan Biskut Ganja Tumpas

Pasangan kekasih yang merupakan dalang dalam kegiatan pemprosesan serta pengedaran kek dan biskut berasaskan kanabis dicekup polis dalam dua serbuan berasingan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, dua serbuan berasingan dilancarkan menerusi Op Storm kira-kira pukul 3.50 petang selepas menjalankan risikan selama sebulan.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun berjaya ditahan bersama dua buah kotak dan satu beg kertas yang mengandungi 25 balang biskut berasaskan kanabis dengan anggaran berat 7,375 gram dan 53 biji kek berasaskan kanabis seberat 5,320 gram”.

“Ekoran dari itu, serbuan kedua pula dijalankan di sebuah residensi di kawasan PJ Midtown, Jalan Kemajuan, Petaling Jaya yang membawa kepada penangkapan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun,” jelas Sahar Abd Latif.





Pihak polis juga telah merampas 131 balang biskut dan 41 biji kek berasaskan kanabis, lapan ketulan mampat kanabis, empat periuk berisi cecair kanabis, dua ketuhar elektrik, satu mesin pengadun dan beberapa peralatan untuk membuat kek dan biskut.

Harga di pasaran bagi sebalang biskut tersebut ialah RM100 manakala sebiji kek seberat 100 gram dijual pada harga RM50 dan pelanggan mereka adalah terhad kepada kenalan rapat suspek lelaki di dalam media sosial iaitu Instagram.

Selain rampasan dadah, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM11,790 dan sebuah kereta jenis BMW X3 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM491,089.

Sahar berkata, suspek lelaki kini direman selama enam hari bermula semalam sehingga 13 September 2021, manakala kekasihnya direman selama tujuh hari sehingga 14 September 2021.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker