Isu Frontliners Terjebak Dengan Aktiviti Negatif Kerana Tertekan, Jangan Terlalu Cepat Menghukum

Edisi Siasat terdiam dan terkesima seketika bila membaca laporan seramai 70,000  frontliners menghadapi tekanan emosi dan sebahagian mereka mula menjinakkan diri dengan aktiviti negatif seperti mengambil syabu, mengambil pil penenang atau pil tidur dan juga meminum kopi dalam kuantiti yang berlebihan.

Memang kita sedia maklum, sebagai pengamal perubatan atau golongan yang berada dalam bidang perubatan, mereka pasti lebih arif akan implikasi dari sudut kesihatan dan kehidupan apabila mereka berbuat begitu.

Lebih menyedihkan skuad Edisi Siasat, apabila sebilangan mesyarakat mula melontarkan kata-kata dan tulisan berbentuk kecaman terhadap mereka.

Malah, ada yang mula menghukum dan mengaitkan dengan kes terpencil seperti kematian seorang warga emas di Hospital Sultan Abdul Halim, Sg Petani, Kedah.

Memang benar, pasti ada sesuatu yang tidak kena hingga berlaku kejadian sebegitu, tetapi, menghukum kesemua frontliners hanya kerana satu insiden yang terpencil, adalah sangat keterlaluan.





Persoalan pokok yang perlu dirungkai ialah mengapa frontliners boleh terjebak?

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Prof Datuk Dr Andrew Mohanraj mendedahkan jumlah petugas kesihatan awam yang menghubungi MMHA untuk mendapat perkhidmatan sokongan psikologi meningkat dengan ketara.

Sebanyak 18 peratus daripada 1,470 panggilan telefon dan pertolongan dalam talian di antara Januari hingga Jun lalu, adalah petugas kesihatan awam.

Tambah beliau lagi, ini adalah jumlah yang amat signifikan kerana sebelum pandemik, pihak mereka tidak pernah menerima panggilan daripada petugas kesihatan awam.





Malah, ada petugas yang mengakui terpaksa mengambil AST (amphetamine type stimulant), iaitu dadah jenis syabu atau ‘ice’, kerana mahukan keyakinan serta tenaga supaya tidak tertidur ketika bertugas.

Dan jumlah yang mula merokok juga ketara.

Ada yang minum kopi antara lima hingga enam cawan sehari berbanding hanya satu cawan pada waktu pagi sebelum lonjakan kes COVID-19.

Begitu juga ada yang terpaksa makan pil tidur kerana tidak dapat tidur akibat gangguan emosi ketika pandemik.

Ada kakitangan kesihatan yang mengaku menangis setiap hari selama sebulan apabila pulang ke rumah, stres, berasa tidak berguna kerana tidak dapat menyelamatkan pesakit, selain kemanusiaan diri tercabar apabila terpaksa memilih pesakit yang perlu ‘dilepaskan’ setiap hari.





Masalah serius yang sedang frontliners hadapi ialah ‘burnout’.

Dan keletihan terlampau yang sedang mereka hadapi sekarang sudah mereka jalani bukan sehari dua, tetapi sudah lebih setahun.

Dalam masa yang sama pula, setiap kali mereka terpaksa memilih antara pesakit yang mempunyai harapan untuk hidup dengan pesakit yang terpaksa dibiarkan untuk menghadapi kematian tanpa sebarang rawatan, naluri kemanusiaan mereka akan tercalar.





Kalau dalam kehidupan normal, sepasang kekasih akan menderita apabila terpaksa meninggalkan pasangannya, atau seorang suami terpaksa menceraikan isterinya, pastinya penderitaan itu akan mendatangkan kesan mendalam.

Tetapi perkara sebegitu biasanya akan terpaksa dihadapi sekali dalam seumur hidup.

Tetapi frontliners kita berhadapan dengan situasi menentukan siapa yang akan dibiarkan dan siapa yang akan diselamatkan setiap hari selama lebih setahun.

Bayangkan kesan terhadap jiwa mereka, pasti setiap hari mereka dihantui perasaan bersalah, lebih-lebih lagi apabila terpaksa memaklumkan berita kematian pesakit yang terpaksa dibiarkan itu kepada keluarga mereka.

Dr Andrew menyarankan KKM mewajibkan proses ‘debriefing’ dalam kalangan petugas kesihatan sebelum dan selepas menjalankan tugas, selain memperluas aktiviti pertolongan cemas psikologi (PFA).





Katanya, proses ‘debriefing’ dalam tempoh tiga hingga lima minit, membolehkan setiap petugas berkongsi keresahan atau apa juga pengalaman dilalui ketika bertugas.

“KKM juga boleh melaksanakan sistem ‘buddy’, iaitu setiap petugas sama ada doktor atau jururawat digandingkan dengan seorang rakan dan mereka perlu bertanya situasi pasangan mereka setiap hari,” katanya.

Bagi orang awam, teruskan memberi sokongan kepada frontliners kita dengan bersama-sama berusaha menjaga diri dari dijangkiti Covid-19 dan ini pasti akan dapat meringankan bebanan frontliners.

Janganlah secara semborono mengkritik mereka dengan kata-kata penghinaan kerana kita tidak merasai tekanan yang mereka rasai setiap hari.

Mereka mempertaruhkan nyawa mereka dan nyawa keluarga mereka semata-mata untuk melindungi kita.

Wajarkah pengorbanan mereka dibalas dengan kata-kata cacian?

Benar, ada antara mereka sudah terjebak, inilah masanya untuk kita membantu mereka sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan mereka selama ini.

Kerana mereka terjebak bukan atas kerelaan yang tidak berasas tetapi kerana tertekan, bukahkah para bijak pandai sering mengatakan:

‘Under pressure everything becomes fluid”.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker