Hari Pertama Perbahasan, MoU Kerajaan Dan PH Sudah Di Khianati

Antara persefahaman yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Ismail Sabri dan Pakatan Harapan dalam MoU yang telah ditandatangani ialah untuk melakukan pembaharuan atau reform Parlimen.

Sejauh mana MoU ini akan bertahan sudah menjadi tandatanya apabila perbahasan Dewan Rakyat pada hari pertama sudah menggambarkan peranan Yang Di Pertua dan Timbalan Yang Di Pertuan Dewan Rakyat seolah-olah melindungi kepentingan kerajaan.

Di penghujung sesi pagi perbahasan Dewan Rakyat, Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan @ Harun, telah diasak oleh Ahli Parlimen pembangkang mengenai 11 usul untuk mengadakan undi percaya terhadap beliau sebagai Yang Di Pertua Dewan Rakyat.

Isu itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.





Beliau telah mempersoalkan kenapa usul itu tidak dimasukkan dalam Aturcara Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut Gobind, usul tersebut sepatutnya diberi keutamaan dalam Aturcara Mesyuarat Dewan Rakyat kerana ianya mempertikaikan kredibiliti Yang Di Perta Dewan Rakyat.

Azhar Azizan @ Harun telah memaklumkan bahawa usul itu telah ditolak oleh Timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dan beliau tidak terlibat dalam urusan membuat keputusan menolak usul tersebut kerana ianya berkaitan dengan diri beliau.

Namun, apabila diasak atas alasan apa Rashid menolak usul tersebut, Azhar bagaimana pun tidak memberikan sebarang ulasan dan meminta supaya Ahli Dewan Rakyat mendapatkan jawapan dari Rashid sendiri.

Jawapan Azhar telah menimbulkan kekecohan kerana Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan, bagaimana beliau sebagai Yang Di Pertua tidak tahu mengenai keputusan yang telah dibuat oleh Timbalan beliau.





Azhar akhirnya mengambil keputusan untuk memanggil Rashid menggantikan beliau untuk mempengerusikan mesyuarat.

Sementara menunggu kedatangan Rashid, Ahli Parlimen Puchong, sekali lagi bangkit dan bertanya kepada Azhar mengenai keputusan permintaan beliau untuk menghadapkan YB Kota Baru, Takiyudin Hasan ke Jawatankuasa Hak & Kebebasan Ahli Parlimen kerana ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang Undang & Hal Ehwal Parlimen), Takiyudin telah menipu Dewan Rakyat berkenaan isu perkenan dari SPB YDP Agong untuk membubarkan Ordinan Darurat.

Menurut Gobind, sehingga sekarang, Azhar tidak memberikan sebarang maklum balas.

Azhar menjawab, oleh kerana itu adalah isu yang berbangkit dalam persidangan Dewan Rakyat yang lepas, maka isu itu dianggap telah luput!!!





Apabila Rashid menggantikan tempat Azhar untuk mempengerusikan Dewan Rakyat, Rashid telah di asak oleh Ahli Parlimen supaya memberikan penjelasan mengapa beliau membuat keputusan menolak 11 usul untuk melakukan undi percaya terhadap Yang Di Pertua Dewan Rakyat.

Rashid hanya menjawab kesemua usul tersebut ditolak kerana masalah teknikal dan tidak ada keperluan untuk beliau memberikan penerangan secara lanjut di dalam Dewan Rakyat kerana beliau sudah memberikan jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen yang mengemukakan usul tersebut.

Jawapan beliau sekali lagi menimbulkan ketegangan dan Ahli Parlimen Jelutong, SN Rayer telah bangkit dan mengatakan perbuatan Rashid yang berdolak dalih boleh dianggap sebagai menyalahgunakan kuasa dan ianya amat memalukan.

Tidak dapat menahan asakan dari YB Jelutong, Rashid telah mengarahkan SN Rayer supaya keluar dewan dan menggantung bveliau selama 2 hari.





Apa yang menjadi persoalan kepada Edisi Siasat, sejak bilakah perkataan ‘memalukan’ menjadi perkataan kesat dan ‘unparliamentary’?

Apakah perbuatan menipu Dewan Rakyat dengan mengheret Institusi YDP Agong merupakan kesalahan remeh dan mempunyai tarikh luput.

Individu yang diberi kepercayaan untuk mempengerusikan Dewan Rakyat mestilah bersikap berkecuali dan tidak boleh dilihat melindungi kepentingan kerajaan ketika mempengerusikan Dewan Rakyat kerana Dewan Rakyat adalah cabang legislatif yang tidak terikat kepada kuasa eksekutif.

Apakah kenyataan melakukan reformasi Parlimen hanyalah retorik politik dan ianya digunakan supaya Kerajaan Ismail Sabri tidak diuji dengan undi tidak percaya di Dewan Rakyat atau apakah ianya satu strategi untuk memujuk Istana Negara supaya tidak lagi mendesak undian keabsahan terhadap Perdana Menteri di dalam Dewan Rakyat?

Rakyat sedang memerhati!!!





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker