Mukhriz: Ismail Sabri Pernah Janji Lantik Dr Mahathir Pengerusi MPN

Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir, mendedahkan, Ismail Sabri sebelum ini berjanji untuk melantik Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir, sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) apabila dia dilantik sebagai Perdana Menteri baharu, menggantikan Muhyiddin Yassin.

Namun, Ismail Sabri tidak mengokotakan janji meski pun penubuhan MPN pada mulanya adalah cadangan Dr Mahathir.

“Beliau (Dr Mahathir) dah umum akan lepaskan jawatan dalam pengerusi Pejuang sekiranya dilantik sebagai pengerusi MPN”.

“Malah Bera (Ismail Sabri) telah berjumpa dengan YB Langkawi (Dr Mahathir) sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri baru-baru ini”.





“(Dr Mahathir) telah dijanjikan bahawa MPN ini akan ditubuhkan sekiranya Bera (Ismail Sabri) jadi Perdana Menteri dan YB Langkawi (akan) dilantik sebagai pengerusinya,” jelas Mukhriz.

Mengulas lanjut perkara itu, Mukhriz bagaimanapun berkata apa yang mengejutkan Ismail Sabri sebaliknya melantik Muhyiddin sebagai pengerusi MPN, walaupun Muhyiddin telah gagal menangani pandemik Covid-19 sewaktu memegang jawatan tertinggi negara.

“Saya tidaklah nak soal keupayaan ahli-ahli parlimen atau orang-orang politik ini untuk sumbang idea tapi ini dah buat pun sebelum ini dan tak berjaya”.

“Maka saya rasa paling penting sekarang ni kita serahkan bulat-bulat kepada orang yang pakar dalam bidang untuk cadang pada kerajaan apa langkah-langkah terbaik untuk tangani krisis yang kita hadapi ketika ini,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Timbalan Presiden Pejuang, Marzuki Yahya, mengesahkan Ismail Sabri yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri bertemu Dr Mahathir untuk mendapatkan sokongan menjadi Perdana Menteri baharu.





Pertemuan yang berlangsung selama 30 minit itu turut melibatkan gesaan Dr Mahathir untuk menubuhkan MPN.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker