Aliran lahar musnahkan 100 rumah di pulau Canary

Aliran lahar musnahkan 100 rumah di pulau Canary
Kepulan asap dari aliran lahar yang bertambah sejuk dekat Los Llanos de Aridane di pulau La Palma, kepulauan Canary. – Foto AFP

LOS LLANOS de ARIDANE: Kira-kira 100 buah rumah musnah akibat aliran lahar Gunung Berapi Cumbre Vieja di lereng gunung di La Palma, kepulauan Canary, Sepanyol.

Presiden Kepulauan Canary, Angel Victor Torres, berkata tiada kehilangan nyawa dilaporkan sejak gunung berapi itu meletus semalam dan itu adalah satu berita baik.

Menurut Institut Vulkanologi Kepulauan Canary, aliran lahar bergerak sekitar 700 meter sejam dan mencapai suhu hampir 1,000 darjah Celsius.

Sementara itu, pakar menjangkakan lahar akan sampai ke pantai sekitar jam 8 malam waktu tempatan.

Lahar sebenarnya adalah campuran batu yang cair atau separa cair dinamakan magma ketika berada di dasar bumi dengan suhu antara 1,200 hingga 2,000 darjah Celsius dan dipanggil lahar apabila mengalir di muka bumi.






Disyorkan Untuk Anda :


Montserrat Lorenzo, 70, dari perkampungan pesisir pantai, El Remo, amat bimbangkan rumahnya yang terletak di tepi pantai dan tidak pasti sama ada beliau dapat kembali ke sana.

Menggambarkan pemandangan itu seperti ‘padang yang gersang’, pegawai tertinggi La Palma, Mariano Hernandez Zapata, berkata aliran lahar itu adalah setinggi enam meter.

“Alira lahar ini menelan semuanya, banyak rumah yang dimusnahkan oleh lahar ini,” katanya.

Pakar pula belum pasti berapa lama lagi gunung berapi itu kekal aktif dan sejauh mana lahar itu akan terus mengalir, dengan ada yang berkata letusan mungkin berterusan selama tiga bulan.

Ribuan orang yang terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka dan rata-rata menyuarakan kebimbangan sama ada mereka dapat kembali.





Penduduk tempatan, Angie Chaux, 27, berkata mereka hanya menonton berita dan mendapat tahu lahar mengalir hanya 700 meter dari rumahnya.

“Saya benar-benar bimbang kerana tidak tahu apa yang akan berlaku kepada suami dan anak lelaki saya berusia tiga tahun.

“Polis memberi kami tiga minit untuk mendapatkan barang kami. Semuanya sangat pantas,” katanya.

Pakar vukanologi Institut National Geographic Sepanyol, Stavros Meletlidis, berkata masih terlalu awal untuk meramalkan jangka masa letusan gunung berapi itu.

“Ada gunung berapi di kepulauan Canary yang meletus selama beberapa hari manakala ada yang berlanjutan beberapa tahun,” katanya kepada stesen televsyen rasmi. – AFP





Aliran lahar musnahkan 100 rumah di pulau Canary


​Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook Kami


https://edisisiasat.com/2021/09/21/henry-tidak-terkejut-reaksi-messi/

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker