Surat Terbuka Untuk Firdaus Wong Dan Caprice

Assalamualaikum saudara Firdaus Wong dan Caprice.

Tulisan ini ditujukan khas kepada kepada saudara berdua dan sekiranya ada pembaca yang mengenali secara dekat dengan mereka berdua, tunjukkanlah tulisan ini kepada mereka semuga mereka sudi untuk membaca dan semuga mereka mendapat manfaat.

Saya bukanlah sesiapa yang mahu memberikan nasihat kepada saudara berdua.

Tetapi sebagai seorang Islam, saya berkewajipan untuk memberikan pandangan dan teguran apabila berlaku sesuatu yang dirasakan sudah melangkaui batasan syarak dan peradaban.





مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya.

Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya.

Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”

[Riwayat Muslim (78)]





Sejak kebelakangan ini, saya melihat pelbagai usaha dilakukan oleh saudara berdua untuk membuktikan ‘kebenaran’ dakwaan terhadap Ustaz Ebit Lew.

Saya tidak pasti, siapa yang berada di pihak yang benar dan siapa yang berada di pihak yang salah.

Yang saya pasti ialah sikap saudara berdua dilihat sudah keterlaluan di dalam membuka aib orang lain.

Siapalah kita untuk membuka aib orang.

Ingatlah, kita dipandang mulia bukan kerana sememangnya kita mulia, tetapi, kita dipandang mulia kerana Allah SWT menutup aib kita dari pengetahuan manusia.





Saudaraku berdua,

Satu hari, ketika Imam Ahmad bin Hambal, pengasas mazhab Hambali hendak pulang ke rumah selepas membeli keperluan di pasar, datang seorang pemuda kepada beliau dan berkata:

“Tuan, biarlah saya bawakan barangan tuan hingga ke rumah, tidak layak bagi seorang yang mulia seperti tuan membawa barangan sendirian”.

Tetapi, Imam Ahmad bin Hambal berkata:

“Jangan, izinkan aku membawanya sendiri, aku dipandang mulia bukanlah kerana kemuliaanku, tetapi kerana Allah SWT menutup aibku dari pengetahuan orang ramai”.





Mesej yang disampaikan oleh Imam Ahmad adalah jelas, janganlah kita merasakan diri kita terlalu seronok hanya kerana kita mendedahkan aib orang kepada umum.

Bagaimana sekiranya Allah SWT membuka aib kita?

Mampukah kita melaluinya?

Walau pun sekiranya saudara berdua merasa amat yakin dengan kebenaran yang saudara berdua dakwa, mendedahkannya kepada umum bukanlah langkah yang betul dan bijak.

Bagaimana sekiranya terbukti apa yang saudara berdua dedahkan selama ini adalah tidak benar?





Bukankah pendedahan itu sudah jatuh ke lembah fitnah?

Tidakkah saudara berdua takut dengan kemurkaan Allah SWT kepada manusia yang melakukan fitnah?

Firman Allah SWT di dalam Al Quran:

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

Maksudnya:

Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.

Al Baqarah: 191

FirmanNya lagi:

وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ

Maksudnya:

Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.

Al Baqarah: 217

Mungkin kalau saudara berdua bernasib baik, mangsa fitnah akan memaafkan saudara berdua, tetapi bagaimana dengan kerosakan yang telah berlaku hasil dari fitnah yang disebarkan.

Hayatilah kisah ini.

Seorang pemuda yang sering melemparkan fitnah kepada seorang ulamak sudah insaf dan mahu bertaubat.

Dia bertemu dengan ulamak tersebut dan mengakui kesalahan itu dan merayu supaya ulamak itu mengampunkan dosa-dosanya.

Ulamak itu berkata:

“Boleh, tapi kamu naik ke rumah aku dan ambil penyapu bulu ayam, kemudian kamu balik ke rumah kamu, tetapi dalam perjalanan balik ke rumah, kamu cabut satu persatu bulu ayam yang ada di tangkai penyapu itu dan kamu buangkan”.

“Apabila kamu tiba di rumah kamu, kamu patah balik ke sini dan dalam perjalanan ke sini, kamu kutip balik bulu ayam yang sudah kamu buang tadi”.

Pemuda itu melakukan apa yang diarahkan oleh ulamak tersebut.

Sebaik sahaja tiba di rumah ulamak itu selepas melaksanakan arahan, pemuda itu berkata:

“Tuan, saya sudah laksanakan arahan tuan tetapi bulu ayam yang dapat saya kutip kembali terlalu sedikit”.

Ulamak itu menjawab:

“Begitulah juga dengan perbuatan fitnah yang kamu lakukan terhadap aku, kerosakan akibat fitnah itu sudah tersebar ke merata tempat sehingga kamu sendiri tidak tahu, aku ampunkan kamu tetapi kamu WAJIB meminta ampun kepada Allah SWT, muga Allah SWT akan mengampunkan dosa kamu kerana melakukan kerosakan di merata tempat akibat dari firnah kamu”.

Ingatlah saudaraku berdua, syurga bukan milik penabur fitnah!!!

Pihak polis sudah beberapa kali memberikan peringatan supaya masyarakat tidak menyiarkan apa-apa bahan yang boleh mengganggu siasatan polis.

Sekiranya ada bukti terbaru, serahkan sahaja kepada pihak polis supaya dapat membantu siasatan mereka.

Berikan mereka ruang untuk melengkapkan siasatan mereka.

Akhir sekali, saya memohon maaf sekiranya surat terbuka ini menyinggung perasaan saudara berdua.

Assalamualaikum.

 

Netizen Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker