Vietnam tunda buka pulau pelancongan Phu Quoc

Vietnam tunda buka pulau pelancongan Phu Quoc
HANOI: Vietnam menangguhkan rancangan gelembung pelancongan membuka semula pulau peranginan Phu Quoc kepada pelancong asing hingga November ini.
Menurut laporan media negara itu, ia terpaksa dilakukan berikutan gagal mencapai sasaran kadar imuniti kelompok akibat kekurangan bekalan vaksin.
Pihak berkuasa negara itu pada awalnya merancang membenarkan pelancong asing yang sudah lengkap vaksin mengunjungi pulau Phu Quoc bermula bulan depan, bagi menghidupkan semula sektor pelancongan dan merancakkan kembali ekonomi negara itu.
Vietnam yang ketika ini masih menutup sempadan kepada semua pengunjung kecuali warga negara dan pelabur, bergelut untuk mempercepat kempen vaksinasi bagi membantu membendung kenaikan kes COVID-19 yang disebabkan oleh varian Delta dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada minggu lalu, menurut pihak berkuasa, pulau itu memerlukan 250,000 hingga 300,000 dos tambahan untuk mencapai imuniti kelompok.
“Kita perlu memberi vaksin kepada penduduk untuk mencapai imuniti kelompok tetapi bekalan vaksin semakin berkurangan,” menurut akhbar VTC, yang dikendalikan oleh negara itu, memetik Ketua Jawatankuasa Rakyat Kota Phu Quoc, Huynh Quang Hung.
Secara keseluruhan, 7.3 peratus daripada 98 juta penduduk Vietnam sudah lengkap divaksin sepenuhnya iaitu kadar yang terendah dalam rantau ASEAN.
Pulau Phu Quoc pada Isnin lalu, mengesan kluster baharu COVID-19 setelah beberapa bulan tidak menerima sebarang kes tempatan. Namun pihak berkuasa wilayah itu menyatakan bahawa keadaan terkawal dan tidak akan menjejas rancangan pembukaan semula.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa Phu Quoc akan dibuka secara berperingkat selama enam bulan bermula dari 20 November, dengan sehingga tiga penerbangan sewa yang akan mendarat di sana setiap minggu.
Di bawah rancangan itu, pulau tersebut berharap dapat menerima 3,000 hingga 5,000 pengunjung sepanjang tempoh percubaan, dengan ujian wajib COVID-19 dijalankan oleh pihak berkuasa, menurut VTC dalam laporan pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, tidak jelas jika pengunjung harus menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari seperti yang diminta oleh kementerian kesihatan Vietnam. – AGENSI
Vietnam tunda buka pulau pelancongan Phu Quoc
Disyorkan Untuk Anda :
- 2 LELAKI YANG CUBA ‘MENCEROBOHI’ ISTANA NEGARA TEWAS
- MAHKAMAH KELUARKAN WARAN TANGKAP KE ATAS PENGARANG SARAWAK REPORT
- VIDEO LORI TENTERA JEPUN BERGERAK TANPA PEMANDU DI SEGAMAT, JOHOR
- BILA MAMAT SEPAH TAMPIL SEGAK BERAMBUT PENDEK
Lawati Laman Facebook Kami
https://edisisiasat.com/2021/09/25/kemboja-batalkan-penganjuran-festival-kematian/