Jutawan Bangladesh Di Cekup

Pesan, orang-orang tua, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya pasti jatuh ke tanah.

Pesan mereka lagi, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Seorang jutawan warga Bangladesh, 46, yang menjadi kaya raya hasil dari aktiviti haram, akhirnya dicekup oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Suspek dikatakan mampu menyewa beberapa premis komersial termasuk sebuah bangunan tiga tingkat untuk dijadikan kilang bagi aktiviti memotong, menjahit, mencetak pakaian selain dijadikan sebagai asrama pekerja.





Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia memberkas lelaki terbabit bersama 45 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di Ampang, Selangor.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata operasi ini rentetan kejayaan OP Hack yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) April lalu.

Dalam operasi itu, sepasukan pegawai Imigresen menyerbu dua kilang pakaian dan dua premis lain di sebuah bangunan pejabat selain pusat pameran milik seorang lelaki Bangladesh.

Suspek menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang disyaki diperolehi melalui sindiket untuk menubuhkan sebuah syarikat di negara ini.

Suspek yang mempunyai syarikat itu didapati aktif dalam bidang industri pembuatan pakaian untuk pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor sejak 2012.





“Berdasarkan siasatan, suspek menubuhkan syarikat dengan kerjasama warga tempatan dan menggunakan sumber tenaga kerja dari kalangan PATI untuk memaksimumkan keuntungan”.

“Suspek juga mampu menggaji seramai 45 warga asing dengan bayaran gaji sebanyak RM1.600 sebulan,” jelas Khairul.

Syarikat milik suspek dianggarkan berjaya mengaut keuntungan lumayan melalui perolehan jualan antara RM130,000 hingga RM150,000 sebulan.

Kegiatan suspek menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan khususnya dalam bentuk levi pekerja asing mencecah RM700,000 sepanjang tempoh syarikat itu beroperasi.

Kesemua pekerja syarikat berkenaan ditahan mengikut Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari untuk siasatan lanjut.





Manakala suspek utama dan seorang wanita warga tempatan berumur 37 tahun yang juga pengarah syarikat disiasat atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta kesalahan-kesalahan lain berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613) dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.

 

Kredit: Metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker