Bot kecil jadi taktik baharu bawa masuk rokok seludup

Bot kecil jadi taktik baharu bawa masuk rokok seludup

Bot kecil jadi taktik baharu bawa masuk rokok seludup

PETALING JAYA: Penyeludup dikesan menggunakan bot kecil sebagai taktik terbaharu mereka untuk memunggah masuk rokok seludup dari Thailand ke negara ini, kata pemerhati industri.

Seorang jurucakap syarikat tembakau berkata barangan itu kemudiannya diangkut menaiki lori dari pelabuhan sebelum dijual kepada ejen-ejen tempatan di negara ini.

Shaiful Bahari Mahpar dari Japan Tobacco International Malaysia Bhd berkata taktik itu dikesan pada Mei lalu selepas kerajaan melaksanakan beberapa langkah yang membuahkan hasil apabila aktiviti membawa masuk rokok seludup semakin berkurangan.





Langkah yang diperkenalkan dalam Bajet 2021 itu hanya membenarkan penghantaran rokok dilakukan di lima pelabuhan saja manakala lesen import baharu dibekukan dan syarat lesen import turut diperketatkan.

Shaiful Bahari yang juga Pengarah Komunikasi JTI, berkata kekurangan bekalan rokok seludup di pasaran menyebabkan harganya meningkat dari RM7 kepada RM8 se paket manakala rokok sah pula dijual pada harga RM12 se paket.


​Disyorkan Untuk Anda :


Katanya, perokok juga yang sebelum ini membeli rokok seludup kemudiannya beralih kepada rokok sah, sekali gus melonjakkan jualan dan pendapatan cukai.

Shaiful berkata proses membawa masuk rokok dari Thailand hanya boleh dibenarkan sekiranya produk terbabit mempunyai label amaran kesihatan oleh negara itu dan mempunyai setem cukai serta lesen import yang sah.

Penganalisis pelaburan Pankaj Kumar berkata barang seludup terbabit boleh dibawa masuk dengan mudah kerana negara mempunyai kawasan pantai yang luas serta banyak laluan masuk dan agensi keselamatan perlu meningkatkan usaha mereka untuk membanteras kegiatan terbabit.





Beliau turut menggesa kerajaan untuk tidak menaikkan cukai rokok menerusi pembentangan Bajet 2022.

“Bagi setiap 10% kenaikan cukai, kerajaan akan mengalami kerugian sebanyak RM250 juta pendapatan cukai akibat penyeludupan,” katanya yang menganggarkan kerajaan kehilangan kira-kira RM5 bilion pendapatan cukai ketika ini akibat kegiatan itu.

Pankaj berkata terdapat banyak negara lain yang menjual rokok pada harga lebih mahal tidak berdepan dengan masalah penyeludupan disebabkan penguatkuasaan yang berkesan.

Sejak beberapa tahun lalu, Pankaj berkata syarikat rokok antarabangsa telah menghentikan operasi di negara ini hingga menyebabkan kehilangan ribuan pekerjaan di kilang.

Phillip Morris menghentikan operasi pada 2012, manakala British American Tobacco pada 2016 dan JTI pula setahun selepas itu.





Tiga syarikat terbabit kini hanya mengimport rokok ke negara ini.

Bot kecil jadi taktik baharu bawa masuk rokok seludup


​Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook Kami


 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker