Hospital terbakar di Romania, 9 maut

BUCHAREST: Sembilan pesakit COVID-19 maut selepas sebuah hospital di Romania terbakar hari ini, kata perkhidmatan penyelamat.

Api memusnahkan unit rawatan rapi (ICU) di hospital di Constanta di pesisir Laut Hitam dengan sembilan orang disahkan maut, kata perkhidmatan penyelamat dalam satu kenyataan.

Kira-kira 100 pesakit terpaksa dipindahkan, kata jurucakap perkhidmatan itu, Razvan Parconie.

Punca kebakaran belum dikenal pasti, kata Menteri Kesihatan, Attila Cseke, selain menjelaskan siasatan sudah dimulakan.

Waris mangsa yang berkumpul di depan hospital menuduh pihak berkuasa ‘tidak cekap’ kerana operasi hospital masih diteruskan dalam bangunan usang.





“Sejarah berulang, tiada apa-apa dilakukan untuk memperbaiki keadaan di hospital,” kata seorang wanita, yang mendakwa ibunya terkorban dalam kebakaran, kepada stesen televisyen tempatan.

Pengarah hospital, Stela Halichidis, menegaskan beberapa kekurangan yang ditemui ketika pemeriksaan elektrik dan pemanasan Januari lalu sudah dibaiki.

Tragedi itu berlaku ketika lonjakan jangkitan harian mencapai angka tertinggi dengan 12,000 kes baharu dilapor dalam 24 jam dan negara itu sangat memerlukan katil rawatan intensif.

Ketua wilayah hospital terbabit, Silviu Cosa, berkata 10 pesakit COVID-19 sedang dirawat di ICU hospital itu ketika kebakaran berlaku.

Pakar menganggarkan kurang satu pertiga daripada 670 hospital di Romania memenuhi protokol keselamatan mencegah kebakaran.





Januari lalu, lima pesakit maut dalam kebakaran di sebuah hospital di Bucharest, dua bulan selepas kejadian seumpamanya mengorbankan 15 pesakit lagi di sebuah hospital di Piatra Neamt di timur laut.

Tiga pesakit COVID-19 maut di ICU bergerak di Bucharest selepas kerosakan sistem bekalan oksigen, April lalu.

Rentetan kejadian terbabit, pihak berkuasa mengumumkan pemeriksaan keselamatan di ICU  di seluruh negara itu. – AFP

Hospital terbakar di Romania, 9 maut

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker