Pembunuh bersiri Perancis ditemui mati selepas 35 tahun


Pembunuh bersiri Perancis ditemui mati selepas 35 tahun

PARIS: Seorang pembunuh bersiri disyaki terbabit dalam beberapa kes lama yang gagal diselesaikan di Perancis ditemui maut selepas 35 tahun melarikan diri.

Polis tidak mendedahkan identitinya melainkan memaklumkan dia dikenali sebagai ‘Le Grele’ dan diburu polis sejak 1980-an bagi kes pembunuhan serta rogol gadis muda tetapi tidak pernah ditangkap.

Pendakwa di Paris, Laure Beccuau, dalam kenyataan semalam, berkata suspek diburu bagi jenayah dilakukan pada 1980-an dan 1990-an, termasuk rogol mangsa bawah umur, pembunuhan, cubaan membunuh, rompakan bersenjata dan penculikan kanak-kanak.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai Francois Verove, ditemui membunuh diri di sebuah apartmen disewa dan meninggalkan pengakuan bertulis, kata sumber.





Dalam kes paling terkenal, dia disyaki merogol dan membunuh seorang gadis berusia 11 tahun bernama Cecile, yang ditemui mati di ruang bawah tanah bangunan tempat tinggalnya di Paris.

Dalam satu lagi kes, dia dikatakan mencekik satu pasangan hingga mati di daerah Marais, pada 1987.

Selama beberapa tahun, penyiasat mempercayai suspek mungkin anggota Gendarmerie, iaitu pasukan bersenjata menjaga keselamatan domestik ketika kejadian itu dan membuat profil DNA dirinya.

Beberapa bulan lalu, seorang majistret penyiasat mula menyoal hampir 750 Gendarme dikerahkan di wilayah Paris ketika itu.

Antaranya ialah Verove, seorang lelaki berusia 59 tahun menginap di selatan Perancis, yang dipanggil pada 24 September lalu, sebelum dilaporkan hilang oleh isterinya tiga hari kemudian.





Dia ditemui mati Rabu lalu di Grau-du-Roi, sebuah perkampungan nelayan di pantai Mediterranean, menurut kenyataan pendakwa raya.

Dia adalah bekas Gendarme, yang kemudian menjadi polis dan bersara selepas itu.

Polis mengambil sampel DNA daripada badannya dan mendapati ia sesuai dengan profil genetik yang terdapat di beberapa lokasi jenayah yang berkaitan.

Menurut media tempatan, Verove menyatakan ‘dorongan masa lalu’ dalam surat ditinggalkannya, sejak itu dia ‘dalam kawalan’ dan menjelaskan dia tidak melakukan kejahatan selepas 1997.

Bagaimanapun, pengakuan pembunuhan itu tidak mengandungi butiran jelas, kata pihak berkuasa.





Pada 1986, polis menerbitkan lakaran polis berdasarkan kenyataan saksi menunjukkan seorang lelaki berusia kira-kira 25 tahun, setinggi 183 sentimeter berambut perang dengan bekas jerawat di wajahnya.

Peguam keluarga Cecile, Didier Seban, berterima kasih kepada polis susulan kejayaan itu, selain memberitahu AFP ‘ia menyakitkan apabila mengetahui penjenayah itu bebas tanpa sabitan’.

Menurut akhbar Parisien, Verove juga adalah suspek satu lagi pembunuhan di Paris, Karine Leroy, 19, pada 1994 di bandar Meaux. – AFP

Pembunuh bersiri Perancis ditemui mati selepas 35 tahun

 


​Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook Kami






http://edisisiasat.com/2021/10/02/hospital-terbakar-di-romania-9-maut/

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker