Secara Rasminya Muafakat Nasional Kini Menjadi Sejarah

Kekecewaan Presiden UMNO, DS Zahid Hamidi, sudah tidak dapat disembunyikan lagi.

Apabila ditanya oleh wartawan my-tv.online akan halatuju dan harapan Muafakat Nasional dalam Pilihanraya Umum ke 15 yang akan datang, secara jelas, Zahid mempersoalkan kewujudan Muafakat Nasional.

Kekecewaan Zahid sebenarnya didokong oleh akar umbi UMNO yang rata-ratanya kecewa dengan sikap bermain 2 kolam pemimpin PAS.

Itu respon pemimpin nombor satu UMNO bila diminta untuk mengulas mengenai Muafakat Nasional.

Manakala di pihak PAS pula, sebaik sahaja Presiden PAS, Hj Hadi Awang, mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi bersama Perikatan Nasional nanti, maka secara rasminya, Muafakat Nasional akan ditalkinkan.





Baca di sini:

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/761130/pn-capai-kata-sepakat-untuk-bahagi-kerusi-pru15

Pada pandangan Edisi Siasat, faktor utama yang menyebabkan berkuburnya Muafakat Nasional adalah sifat rakus kepada kuasa sehingga sanggup mengkhianati rakan seperjuangan.

Bermula dari penubuhan Perikatan Nasional, PAS seringkali mengkhianati dan membelakangkan UMNO di dalam kebanyakan keputusan yang dibuat.

Tetapi, untuk melindungi apa yang mereka lakukan, ratib untuk menjadi pendamai antara UMNO dan PPBM sering dilenggokkan dengan bertopengkan alasan penyatuan ummah.





Sedangkan dalam masa yang sama, PAS menutup serapat-rapatnya pintu untuk berdamai dengan PAN.

Sementara di dalam rumah agam UMNO pula, hanya nampak kukuh dari luar, tetapi hakikat di dalamnya penuh dengan kerapuhan.

Puncanya adalah sama, sifat rakus kepada kuasa di kalangan sebahagian dari pemimpinnya.

Pandangan dan nasihat Presiden UMNO dipandang sepi hanya kerana Presiden UMNO sekarang tidak mempunyai apa-apa kedudukan di dalam kerajaan.

Sanggup menongkah arus dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan kehendak akar umbi, semata-mata ingin menikmati keseronokan kuasa di Putrajaya, walau pun dalam keadaan tangan terikat ke langit dan kaki terpasak ke bumi.





UMNO bernasib baik, kerana perpecahan di pucuk pimpinan tidak merebak sehingga ke akar umbi.

Di peringkat akar umbi, ketaatan kepada pemimpin dan parti masih lagi digigit erat dan tidak dilepaskan, dan inilah kekuatan sebenar UMNO.

Sekiranya bangsa Melayu benar-benar mahukan penyatuan yang benar-benar ikhlas, pemimpin yang rakus kepada kuasa ini WAJIB disingkirkan.

Jangan gusar atau bimbang, dalam mencari nilai manikam di dalam roh perjuangan pemimpin sejati, pengkhianat-pengkhianat ini mesti disingkirkan, tidak kiralah, sama ada mereka dari UMNO atau pun PAS!!!





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker