Ekonomi Afghanistan di ambang keruntuhan

Ekonomi Afghanistan di ambang keruntuhan

WASHINGTON: Sistem kesihatan dan ekonomi di Afghanistan di ambang keruntuhan, kata Pengarah Program Makanan Dunia (WFP) di negara itu, Mary-Ellen McGroarty.

Beliau berkata, organisasi itu menggesa negara penderma yang sebelum ini berikrar dan memberi komitmen supaya menyegerakan bantuan dan menjadikannya ‘satu realiti’ sebelum terlambat.

“Afghanistan kini di ambang sukar. Kita belum pernah melihat krisis sebegini pada kadar dan skala ini,” katanya dalam persidangan video dari ibu negara Afganistan, Kabul.





Beliau turut memberi amaran bahawa hak wanita, kanak-kanak perempuan dan golongan minoriti di negara itu turut terancam, lapor agensi berita Anadolu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain berdepan konflik dan ketidaktentuan politik selama beberapa dekad, Afghanistan turut mengalami isu kemiskinan kronik serta kemarau yang teruk ketika pandemik COVID-19.

“Kita menyaksikan kemiskinan serius berlaku susulan kemarau dan krisis ekonomi yang mengakibatkan harga makanan dan bahan api meningkat,” kata McGroarty yang turut menegaskan rakyat Afghanistan sangat terdesak dan memerlukan sokongan berikutan musim sejuk semakin hampir.

Menurut PBB lagi, hampir separuh daripada populasi negara itu, iaitu lebih 18 juta penduduk memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

Ia berikutan konflik berlarutan di negara itu yang menjejaskan kehidupan lebih daripada 3.5 juta rakyat dengan 700,000 daripadanya meninggalkan Afghanistan selepas kumpulan Taliban mengambil alih kerajaan.





Pada pertengahan Ogos lalu, Taliban merampas semula Afghanistan selari dengan pengunduran tentera AS dari negara itu.

Bulan lalu, Taliban mengumumkan penubuhan kerajaan interim bagi pentadbiran negara. -AGENSI

Ekonomi Afghanistan di ambang keruntuhan





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker