Bot pelancong dan bot nelayan bertembung, 10 cedera

JERTIH: Sepuluh termasuk dua kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun cedera apabila bot pelancong yang mereka naiki bertembung dengan bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut di sini, petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata 21 lagi individu yang menaiki bot pelancong berkenaan terselamat dalam kejadian itu jam 3.30 petang.
“Bot yang dinaiki pelancong berlepas dari Jeti Pulau Perhentian jam 2.30 petang dan insiden itu berlaku setibanya mereka di Jeti Pelancongan Kuala Besut kira-kira satu jam kemudian,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata lima anggota polis, lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berserta orang awam terlibat dalam operasi menyelamat mangsa.
Abdul Rozak berkata insiden itu telah dirujuk kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952.
“Semua mangsa dapat diselamatkan dan menerima rawatan di Hospital Besut serta Klinik Kesihatan Kuala Besut,” katanya.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut berkata, mereka menerima panggilan jam 3.38 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Ketika sampai di lokasi kejadian didapati sebuah bot nelayan dan sebuah bot pelancong bertembung dan terbalik berhampiran jeti.
Seorang saksi berkata, ketika berada berhampiran kawasan itu dia sempat melihat bot pelancong bergesel dengan bot nelayan sebelum bot melambung dan terbalik.
Katanya, dia juga sempat terdengar suara mangsa menjerit. Disebabkan kejadian itu dia terpaksa membatalkan hasrat mahu ke Pulau Perhentian petang tadi. – BERNAMA
Bot pelancong dan bot nelayan bertembung, 10 cedera