City, Liverpool ‘berperang’ lagi

City, Liverpool ‘berperang’ lagi
LONDON: Liverpool akan mempertaruhkan peluang mereka untuk merekodkan empat kejuaraan musim ini apabila berdepan Manchester City dalam aksi separuh akhir Piala FA di Wembley, di sini, malam ini, waktu Malaysia
Skuad bimbingan Jurgen Klopp di landasan tepat bagi menjadi kelab Inggeris pertama memenangi empat trofi utama dalam satu musim.
The Reds menjulang trofi Piala Liga pada Februari lalu dan mara ke kelompok empat terbaik Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan Benfica di suku akhir, pada pertengahan minggu.
Dengan Liverpool dijangka mampu mengatasi Villareal di separuh akhir Liga Juara-Juara, City yang kini berada di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal menjadi halangan terbesar terhadap cita-cita kelab itu.
City hanya berkelebihan satu mata di depan Liverpool dengan berbaki tujuh perlawanan musim ini.
Skuad bimbingan Pep Guardiola juga dalam pemburuan trofi Liga Juara-Juara musim ini dan kemungkinan berdepan Liverpool di final jika menewaskan Real Madrid dalam aksi separuh akhir.
Anak buah Guardiola ketika ini memasang impian untuk menjadi kelab Inggeris kedua yang memenangi saingan EPL, Liga Juara-Juara dan Piala FA.
Aksi Liverpool menentang City dalam dua perlawanan liga musim ini menyaksikan mereka terikat 2-2 dan ada kemungkinan aksi malam ini ditentukan menerusi sepakan penalti.
“City sangat kuat minggu lalu, kami tidak berada pada tahap terbaik.
“Saya mahu lihat permainan yang mana kami berada pada tahap terbaik. Pemain melakukan banyak perkara positif dalam perlawanan tetapi di beberapa posisi kami mampu beraksi dengan lebih baik,” kata Klopp.
Sementara itu, pemain tengah City, Rodri mengakui jadual perlawanan padat yang terpaksa diharungi musim ini mula memberi kesan kepada mereka.
“Jadual musim ini sangat gila. Kami sudah mengharungi dua perlawanan menentang Atletico dan sebelum itu bertemu Liverpool.
“Anda perlu bekerja 100 peratus dan kini kami akan bertemu Liverpool sekali lagi. Terlalu banyak perlawanan sukar dalam masa yang sama namun kami perlu terimanya,” katanya.
– AFP
City, Liverpool ‘berperang’ lagi
Disyorkan Untuk Anda :