IMF turunkan penarafan 140 ekonomi

IMF turunkan penarafan 140 ekonomi
WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan menyemak semula unjuran pertumbuhan globalnya susulan konflik Russia-Ukraine yang mana kesannya akan menyumbang kepada penurunan taraf bagi 143 ekonomi tahun ini.
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, berkata secara ringkasnya semua orang sedang menghadapi krisis demi krisis.
“Dalam tujuh minggu lalu, dunia mengalami krisis besar kedua iaitu perang Russia-Ukraine, selepas dilanda pandemik selama lebih dua tahun.
“Ini mencetuskan risiko di mana banyak kemajuan yang sudah kami capai sejak dua tahun lalu untuk bangkit daripada COVID-19 akan terhakis,” katanya.
Jelas beliau, dalam kemas kini kepada laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) yang dikeluarkan pada Januari, IMF mengurangkan unjuran pertumbuhan global 2022 sebanyak 0.5 mata peratusan kepada 4.4 peratus.
“Pandemik COVID-19, yang kini diburukkan dengan kemunculan varian Omicron yang lebih pantas merebak, memaksa ekonomi dunia bergelut dengan gangguan bekalan, inflasi yang lebih tinggi, rekod hutang dan ketidaktentuan yang berterusan.
“Sejak itu, keadaan merosot dengan ketara, sebahagian besarnya disebabkan oleh perang dan kesannya,” katanya dalam ucapan pembuka tirai menjelang mesyuarat musim bunga 2022 IMF dan Bank Dunia yang dijadualkan minggu depan.
Ketua IMF itu menyatakan bahawa kesan ekonomi daripada konflik Russia-Ukraine yang merebak cepat lagi jauh, turut memberi kesan paling sukar kepada mereka yang rentan.
“Ia menaikkan harga tenaga, makanan dan memburukkan lagi inflasi, menjejaskan ratusan juta keluarga yang bergelut dengan pendapatan lebih rendah dan harga lebih tinggi, mengancam untuk meningkatkan lagi ketidaksamaan sosial.
“Hasilnya, kami akan mengunjurkan penurunan taraf selanjutnya dalam pertumbuhan global untuk 2022 dan 2023,” kata Georgieva
Tambah beliau, bahawa kesan perang akan menyumbang kepada ramalan penurunan taraf untuk 143 ekonomi tahun ini, menyumbang 86 peratus daripada KDNK global.
IMF akan mengeluarkan Tinjauan Ekonomi Dunianya pada 19 April ini.
Ketika ini, keutamaan adalah untuk menamatkan perang di Ukraine, menghadapi pandemik dan menangani inflasi dan hutang.
Georgieva juga menekankan usaha untuk memerangi perubahan iklim, sambil menggesa penggubal dasar untuk menerima revolusi digital.
“Dalam menghadapi inflasi yang meningkat, bank pusat harus bertindak tegas, kekal pada nadi ekonomi dan menyesuaikan dasar dengan sewajarnya,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa ekonomi baharu dan yang sedang membangun kini berdepan risiko akibat tindakan ekonomi maju memperketatkan sektor kewangan, bukan saja kos pinjaman yang lebih tinggi tetapi juga risiko aliran keluar modal.
“Untuk menangani cabaran ini, negara harus bersedia menggunakan apa saja strategi, daripada melanjutkan tempoh matang hutang dan menggunakan keanjalan kadar pertukaran asing dan langkah pengurusan aliran modal,” katanya. – AGENSI
IMF turunkan penarafan 140 ekonomi
Disyorkan Untuk Anda :