PJ City tuntut skuadnya kecewakan NSFC di Paroi

PJ City tuntut skuadnya kecewakan NSFC di Paroi
SEREMBAN: Selepas membenam Terengganu FC (TFC) sebelum ini, PJ City FC dituntut meneruskan aksi cemerlang itu ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam pertembungan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam esok.
Pengurus pasukan, K Rajendran berkata, biarpun kedua-dua pasukan dilihat bagaikan ada hubungan ‘sahabat’ kerana beberapa pemain PJ City yang kini beraksi bersama NSFC selain ketua jurulatih, K Devan yang pernah membimbing pasukan itu sebelum ini, namun hubungan itu perlu dilupakan.
“Mungkin ada yang melihat strategi dan persembahan kedua-dua pasukan tidak jauh beza kerana Devan adalah pembimbing pasukan kami sebelum ini manakala beberapa pemain Negeri Sembilan seperti penjaga gol, Syihan Hazmi, adalah bekas pemain kami.
“Antara kedua-dua pasukan mungkin sudah tahu kekuatan masing-masing. Misalnya Syihan, saya lihat dia berada dalam prestasi terbaik. Dia banyak tahu tentang kekuatan kami kerana dia bekas pemain kami dan akan mungkin memberi kesukaran kepada penyerang PJ City.
“Namun, saya sudah jumpa pemain semalam dan ingatkan mereka betapa perlunya mereka terus bekerja keras dan kekalkan persembahan terbaik dengan harapan momentum kemenangan pasukan dapat dikekalkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Rajendran mengakui puas hati dengan persiapan pasukannya apabila mendapati semua pemain amat komited untuk meneruskan kecemerlangan pasukan di Paroi, esok.
Menurutnya, skuad bimbingan P Maniam itu akan turun dengan kesebelasan terbaik biarpun masih tidak dapat menggunakan khidmat kapten pasukan, K Gurusamy, yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Katanya, penyerang kebangsaan, Darren Lok yang mencipta hatrik ketika membenam TFC baru-baru ini, bakal bergandingan dengan Mahali Jasuli dan S Kumaahran, bagi mengemudi jentera serangan pasukan itu.
“Setakat ini aksi Lok menyerlah dan saya berharap dia dapat meneruskan rentak terbaik serta mengulangi persembahan cemerlang dengan menjaringkan gol dalam perlawanan esok,” katanya.
PJ City yang mempertaruhkan pemain tempatan 100 peratus kini menduduki tangga keempat carta Liga Super dengan mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu tewas.
PJ City tuntut skuadnya kecewakan NSFC di Paroi
Disyorkan Untuk Anda :
Akhirnya Taufiq Ayman Akan Di Dakwa