Myanmar akan bebaskan lebih 1,600 tahanan
Myanmar akan bebaskan lebih 1,600 tahanan
YANGON: Junta Myanmar akan membebaskan lebih 1,600 tahanan yang dipenjara di seluruh negara hari ini bersempena tahun baharu dalam kalendar Buddha.
Bagaimanapun, ia tidak menyatakan sama ada mereka yang diampunkan pihak berkuasa itu adalah penunjuk perasaan atau penjenayah biasa.
Sejumlah kira-kira 1,619 banduan, termasuk 42 warga asing diberi pengampunan dan akan dibebaskan bersempena tahun baharu, menurut pengumuman yang disiarkan saluran televisyen tempatan pagi tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, masih belum jelas sama ada penunjuk perasaan anti-junta atau wartawan yang dipenjarakan kerana membuat liputan rampasan kuasa itu adalah antara individu yang bakal dibebaskan.
Selain itu, junta juga tidak menyebut mengenai ahli akademik Australia, Sean Turnell, yang juga bekas penasihat kepada pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi yang ditahan sebaik rampasan kuasa dilakukan.
Disyorkan Untuk Anda :
Beliau kini dibicarakan kerana didakwa melanggar akta rahsia rasmi, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun.
Butiran tepat mengenai dakwaan kesalahannya belum didedahkan kepada umum walaupun stesen televisyen tempatan berkata beliau mempunyai akses kepada ‘maklumat rahsia kewangan negara’ dan pernah cuba melarikan diri dari negara itu.
Myanmar biasanya memberikan pengampunan tahunan kepada ribuan banduan untuk memperingati cuti Tahun Baharu Buddha tradisional yang pada tahun sebelumnya disambut meriah di seluruh bandar dengan pesta air atau Songkran.
Bagaimanapun, disebabkan tahun ini tentera junta meneruskan tindakan keras terhadap rakyat, kebanyakan jalan di bandar utama sunyi sebagai bantahan terhadap pemerintahan mereka.
Negara Asia Tenggara itu bergolak sejak Suu Kyi, digulingkan dan susulan daripada itu, tercetusnya bantahan besar-besaran dengan tindakan keganasan turut menyebabkan ramai penduduk terkorban. – AFP
Myanmar akan bebaskan lebih 1,600 tahanan
Disyorkan Untuk Anda :