Roket dilancarkan tentera Pakistan membunuh enam warga Afghanistan

Roket dilancarkan tentera Pakistan membunuh enam warga Afghanistan
KABUL: Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh di wilayah timur Afghanistan apabila tentera Pakistan melancarkan roket di sepanjang sempadan dalam serangan sebelum subuh hari ini, kata seorang pegawai dan seorang penduduk.
Sejak Taliban merampas kuasa tahun lalu di Afghanistan, ketegangan sempadan antara jiran telah meningkat, dengan Pakistan mendakwa kumpulan militan melakukan serangan dari tanah Afghanistan.
Taliban menafikan melindungi militan Pakistan, tetapi juga berang dengan pagar yang didirikan Islamabad di sepanjang sempadan 2,700 kilometer (km) mereka yang dikenali sebagai garis Durand, yang telah dibina pada zaman penjajah.
Seorang pegawai kerajaan Afghanistan dan seorang penduduk di wilayah Kunar timur Afghanistan berkata, tentera Pakistan melepaskan roket awal hari ini yang menyebabkan enam orang terbunuh.
“Lima kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh dan seorang lelaki cedera dalam serangan roket Pakistan di daerah Shelton di Kunar,” kata pengarah maklumat wilayah, Najibullah Hassan Abdaal kepada AFP.
Disyorkan Untuk Anda :
Ehsanullah, seorang penduduk daerah Shelton yang menggunakan satu nama seperti yang dilakukan oleh ramai warga Afghanistan, berkata serangan itu dilakukan oleh pesawat tentera Pakistan.
Dia mengesahkan jumlah kematian.
Serangan sebelum subuh yang sama telah dilakukan di wilayah Khost di Afghanistan berhampiran sempadan, kata seorang lagi pegawai kerajaan Afghanistan.
“Helikopter Pakistan mengebom empat kampung berhampiran laluan Durand di wilayah Khost,” katanya yang enggan dikenali.
“Hanya rumah orang awam menjadi sasaran dan ada korban jiwa,” tambahnya, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Seorang warga tua puak Afghanistan dari Khost, Gul Markhan, mengesahkan kejadian di Khost.
Beratus-ratus orang awam Khost mencurah-curah ke jalan raya sambil melaungkan slogan anti-Pakistan hari ini, kata laporan media Afghanistan.
Pegawai tentera Pakistan tidak mahu memberi komen ketika dihubungi untuk mendapatkan ulasan, dan jurucakap kerajaan Taliban di Kabul juga enggan mengulas ketika dihubungi AFP.
Kementerian Luar Afghanistan hari ini berkata, ia telah memanggil duta Pakistan di Kabul untuk membantah serangan itu. – AFP
Roket dilancarkan tentera Pakistan membunuh enam warga Afghanistan
Disyorkan Untuk Anda :