Russia lancar serangan terbaru ke atas Kyiv

Russia lancar serangan terbaru ke atas Kyiv
KYIV: Russia melancarkan serangan udara ke atas Kyiv semalam ketika Presiden Volodymyr Zelensky memberi amaran rundingan damai dengan Moscow akan dibatalkan jika tentera Ukraine di bandar pelabuhan yang dikepung di Mariupol terbunuh.
Pertumpahan darah terbaru di ibu negara Ukraine dan tekanan yang semakin meningkat ke atas Mariupol berlaku apabila Canselor Austria, pemimpin Eropah pertama yang bertemu dengan Vladimir Putin secara peribadi sejak pencerobohan bermula dilaporkan berkata, beliau berpendapat Presiden Russia itu ‘percaya memenangi perang’.
Serangan terbaru ke atas Kyiv menamatkan minggu yang agak tenang di bandar itu.
Kepulan asap dari daerah Darnyrsky di tenggara ibu negara itu seperti dikatakan Moscow sebagai serangan ‘jarak jauh berketepatan tinggi’ ke atas sebuah kilang persenjataan, membunuh seorang dan mencederakan beberapa yang lain.
Sejumlah anggota polis dan tentera turut dikerah ke sekitar kawasan kilang yang mengalami kerosakan teruk itu.
“Pasukan kami melakukan segala yang mungkin untuk melindungi keselamatan semua, tetapi musuh adalah berbahaya dan kejam,” kata Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko.
Serangan itu berlaku sehari selepas serangan sama ke atas loji yang menghasilkan peluru berpandu Neptune, jenis yang menurut Kyiv dan Washington, menenggelamkan kapal utama Laut Hitam Russia, Moskva pada Khamis lalu.
Disyorkan Untuk Anda :
Ia antara serangan pertama sejak tentera Russia mula berundur dari wilayah itu bulan lalu, sebaliknya mengalihkan tumpuan mereka untuk menguasai wilayah Timur Donbas, selama bertahun-tahun dikawal sebahagiannya oleh pemisah pro Russia.
Gabenor Wilayah Kyiv, Oleksandr Pavliuk, berkata terdapat sekurang-kurangnya dua lagi serangan Russia ke atas bandar itu Jumaat lalu dan orang awam yang berfikir untuk kembali perlu ‘menunggu masa yang lebih tenang’.
Sementara itu, bandar kedua terbesar di Ukraine, Kharkiv berlaku serangan peluru berpandu Russia di daerah kediaman, membunuh sekurang-kurang dua orang semalam dan mencederakan 18 yang lain, kata pejabat pendakwa raya.
Menteri Dalam Negeri Ukraine, Denys Monastyrsky berkata, tiga orang terbunuh dan empat lagi parah dalam operasi di Kharkiv. – AFP
Russia lancar serangan terbaru ke atas Kyiv
Disyorkan Untuk Anda :