‘PAS sudah boleh bubar’ – Ahmad Maslan

'PAS sudah boleh bubar' - Ahmad Maslan
Ahmad Maslan (kanan) bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) ketika Majlis Perasmian Wacana Aspirasi UMNO – ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ di Kuala Lumpur, hari ini. – BERNAMA

‘PAS sudah boleh bubar’ – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini mencadangkan PAS dibubarkan kerana UMNO turut membawa wadah perjuangan Islam.

Katanya, UMNO sudah menjadi parti politik yang turut membawa wadah perjuangan Islam dan sudah meminda perlembagaan parti pada 2019 dengan meletakkan agenda mempertahan dan mendokong cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama, berbanding hanya mendokong perjuangan kebangsaan Melayu.

“Fasal 3.1 (Perlembagaan UMNO), sebelum ini (diletakkan dalam) Fasal 3.3, tapi sekarang sudah dinaikkan ke Fasal 3.1, iaitu menegak dan mempertahan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Saya ingin menyeru kepada PAS, bubarkanlah PAS, itu mesej penting, sampaikan kepada rakan, ramai orang Kelantan di sini, PAS utamanya di Kelantan. Baru-baru ini mereka mahu berbaik dengan kita, kita rasa elok bubar, tengok perlembagaan UMNO,” katanya.





Pada program Wacana Aspirasi UMNO (WAU) – ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ yang disiarkan menerusi Facebook Live UMNO Online hari ini, beliau berkata, dakwaan oleh bekas pemimpin utama PAS dulu bahawa UMNO bukan parti memperjuang agenda Islam, kini sudah meleset.

“Dengar betul-betul, asas dan tujuan UMNO sudah dipinda. UMNO adalah sebuah parti politik yang mendokong cita-cita agama Islam. Sebelum ini tidak diletak dalam asas dan tujuannya (dalam perlembagaan UMNO), sekarang sudah ada.

“Sebelum ini UMNO, sebuah parti politik yang mendokong perjuangan kebangsaan Melayu, itu yang pertama.

“Sekarang yang pertama, UMNO adalah sebuah parti politik yang mendokong cita-cita agama Islam, kebangsaan Melayu, Bumiputera, anak negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Melayu dan kemakmuran serta kestabilan negara. Itu asas perjuangan UMNO yang kita sudah pinda 2019,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, UMNO perlu meneruskan usaha untuk sentiasa mendahulukan dan meletakkan kepentingan rakyat di depan, khususnya dalam setiap dasar yang dirangka.





Beliau berkata, UMNO perlu berjuang memastikan rakyat terus diberi peluang mendapat pendidikan tinggi dan diberi latihan kemahiran tinggi, bantuan peluang perniagaan dan pekerjaan serta perumahan dan kebajikan.

Terdahulu hari ini di Alor Setar; Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan partinya tidak mempunyai sebarang masalah meneruskan kerjasama politik dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN).

Menteri Besar Kedah berkata, parti itu masih berpegang kepada keputusan pimpinan tertinggi dan Majlis Syura, iaitu memperkukuhkan MN dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) demi memperkukuhkan politik umat Islam dan Melayu di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan, pihak yang cuba mengganggu-gugat gagasan berkenaan memberhentikan perbuatan mereka kerana ia akan hanya menyebabkan usaha menyatupadukan umat Islam dan Melayu di negara ini terjejas.

“PAS tidak ada masalah (bekerjasama) dengan UMNO. Jika UMNO ada masalah, mereka perlu selesaikan kerana PAS tidak ada masalah. Kita masih berpegang kepada keputusan dibuat kepimpinan dan Majlis Syura, kita konsisten dan tidak ada perubahan di mana PN kita mahu, MN pun kita mahu.





“Matlamat PN dan MN adalah penyatuan ummah, memperkukuh politik Melayu dan menyatupadukan ummah dalam keadaan umat Islam berdepan cabaran di seluruh dunia yang datang dari pelbagai penjuru. ‘Ubat’ kepada isu ini adalah memperkukuh perpaduan dan kerjasama umat Islam,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi bayangan mustahil MN diteruskan jika PAS terus memperlihatkan sikap ‘talam dua muka’.

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata UMNO mahu rakan yang setia dalam MN, bukan sahaja berdasarkan daripada kenyataan dikeluarkan, tetapi melalui tindakan dan keputusan yang dibuat parti terbabit.

Muhammad Sanusi berkata, dari segi politik, PN dan MN dilihat mampu memperkukuhkan perpaduan umat Islam dan Melayu di negara ini kerana kedua-duanya mempunyai kepentingan sama.

“Apapun alasan diberikan pihak lain untuk menolak gagasan ini, PAS tetap mahu mengajak mengukuhkan perpaduan umat Islam kerana kuasa politik Melayu perlu dominan berdasarkan komposisi kaum dan sejarah latar belakang negara ini.





“Perkara lain yang mengganggu-gugat usaha menyatupadukan umat Islam dan Melayu perlu diketepikan semua pihak. Ketepikanlah kepentingan diri, peribadi, kelompok dan mazhab kerana kita perlu memperkukuhkan kuasa politik,” katanya.

Di Kota Bharu pula, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah meminta UMNO menilai semula pendiriannya berhubung kedudukan dalam Muafakat Nasional bagi membolehkan kedua-dua parti kembali bekerjasama demi kepentingan Melayu dan Islam.

Katanya, PAS sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti termasuk UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) demi kepentingan bangsa dan agama.

“PAS sentiasa terbuka untuk bersama-sama UMNO dan boleh duduk berbincang asalkan ia membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam. UMNO boleh nilai semula pendirian mereka sebelum ini dan kembali bekerjasama dengan PAS,” katanya ditemui di pejabatnya selepas Mesyuarat EXCO.

“Kalau kita mahu khianati UMNO, kita dah tarik sokongan kepada UMNO. BERSATU juga tidak tarik sokongan kepada UMNO. Kita sanggup duduk bersama UMNO sebab demi penyatuan ummah,” katanya.





Mengenai kenyataan Ahmad Zahid Hamidi yang meminta PAS melupakan kerjasama politik dengan UMNO melalui MN pada PRU-15, Mohd Amar menyifatkan ia sekadar pandangan peribadi Presiden UMNO itu.

“Walaupun UMNO buat macam tu dekat kita, kita tidak simpan dendam dalam hati. Orang tuduh PAS macam-macam kerana ada dalam MN dan bersama Pakatan Nasional (PN). Jadi apa masalah PAS ada dalam PN dan MN?

“PAS juga memikirkan kepentingan ummah kerana mahu halang Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan. Mengikut pengalaman sebelum ini, sudah perit 22 bulan dengan PH,” katanya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula sebelum ini menegaskan parti itu akan memuktamadkan kedudukan dalam MN yang dibina bersama PAS selepas menerima pandangan pimpinan parti di semua peringkat.

Katanya lagi, buat masa ini kenyataan berhubung status UMNO dalam MN yang dizahirkan pemimpin tertentu hanya sekadar pandangan individu.

Mohd Amar berkata, UMNO Selangor sudah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan PAS dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu keputusan kerjasama antara kedua-dua parti untuk menghadapi PRU-15 dibincangkan pada peringkat kepemimpinan tertinggi parti.

“Kenyataan presiden dan timbalan presiden (UMNO) tidak sekata dan nampak celaru. Jadi kita nak pakai (kenyataan) siapa? Lebih baik bincang dahulu dengan parti,” katanya.

‘Pembantu Ahmad Maslan’ didakwa menipu

‘PAS sudah boleh bubar’ – Ahmad Maslan

​Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman :


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi : – MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Penderaaan rumahtangga : –  Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214. Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda.

Raja Fitnah Memfitnah Parti Sendiri


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker