Malaysia, AS bersama banteras isu buruh paksa

Malaysia, AS bersama banteras isu buruh paksa
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP) bakal menjalinkan kerjasama strategik dalam usaha membanteras isu buruh paksa menerusi penubuhan jawatankuasa kerja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata jawatankuasa yang akan bertemu setiap tiga bulan itu, akan memberi tumpuan terhadap aspek pertukaran maklumat berhubung elemen buruh paksa.
Katanya, ia termasuk merangka dasar menyokong inisiatif menghapuskan kegiatan itu.
“US CBP dijangka mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada penghujung bulan ini dan menganjurkan bengkel bersama penggerak industri.
“Ia bagi memastikan produk mereka tidak disekat untuk memasuki ke pasaran Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yang dalam lawatan kerja ke Washington berkata, kunjungan ke AS membuka peluang kerjasama dua hala dalam membendung gejala buruh paksa.
Saravanan berkata, ia turut menjadi platfom bagi AS lebih memahami cabaran dihadapi Malaysia dalam menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak.
Beliau turut bertemu Penolong Eksekutif Pesuruhjaya Perdagangan US CBP, AnnMarie Highsmith dan Timbalan Setiausaha Bahagian Biro Hal Ehwal Buruh Antarabangsa (ILAB) Jabatan Buruh AS (US DOL), Thea Lee.
Katanya, pertemuan itu membolehkan pihaknya berkongsi inisiatif kementerian dalam menangani hampir keseluruhan indikator buruh paksa yang disenaraikan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
“Ia merangkumi penahanan dokumen pengenalan diri, kerja lebih masa berlebihan dan penahanan gaji,” katanya.
Beliau berkata, US DOL bersetuju berkongsi kepakaran dalam aspek perpindahan teknologi, bina upaya dan program perantis.
Katanya, US DOL turut menyarankan Malaysia memberi pendedahan kepada pekerja mengenai kepentingan berkesatuan, selaras pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Julai depan.
Malaysia, AS bersama banteras isu buruh paksa