Seorang maut, 16 cedera dalam letupan di Karachi

Seorang maut, 16 cedera dalam letupan di Karachi
ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya seorang maut dan 16 cedera akibat letupan di dalam sebuah kawasan pasar di bandar Karachi di wilayah Sindh, Pakistan, lewat malam tadi.
Superintendan Perubatan Pusat Perubatan Lepasan Ijazah Jinnah (JPMC), kata Shahid Rasool, kebanyakan yang cedera itu berada dalam keadaan kritikal selepas terkena bebola besi daripada bahan letupan berkenaan.
Menteri Maklumat wilayah Sindh, Sharjeel Inam Memon, berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca letupan, selain darurat turut diisytiharkan di semua hospital di bandar itu.
Dalam pada itu, seorang petugas penyelamat bersama badan bukan kerajaan, Badan Amanah Kebajikan Saylani, Salman Qureshi, berkata pasukan penyelamat memindahkan 16 individu yang tercedera ke JPMC, dengan seorang daripadanya meninggal dunia.
“Tragedi ini berlaku di kawasan yang padat dengan penduduk dan ramai pejalan kaki di kawasan kejadian ketika letupan berlaku,” katanya.
Perdana Menteri Pakistan, Shahbaz Sharif, mengutuk serangan itu dan mengarahkan ketua menteri Sindh untuk menyediakan rawatan perubatan terbaik kepada mangsa yang cedera, kata Pejabat Perdana Menteri Pakistan dalam satu kenyataan hari ini.
Saluran televisyen tempatan, ARY News, yang memetik sumber polis, melaporkan bahan letupan yang disembunyikan dalam tong sampah diletupkan oleh militan yang belum dikenal pasti, ketika sebuah kenderaan Pengawal Pantai Pakistan melalui kawasan itu.
Seorang jurucakap agensi Pengawal Pantai Pakistan mengesahkan kenderaan agensi itu musnah bersama lima kenderaan lain dalam letupan berkenaan, namun enggan memaklumkan sama ada kenderaan rasmi itu menjadi sasaran utama. – AGENSI
Raja Fitnah Memfitnah Parti Sendiri
Seorang maut, 16 cedera dalam letupan di Karachi