Tentera Israel tembak belia Palestin di Jenin

Tentera Israel tembak belia Palestin di Jenin
JENIN: Seorang warga Palestin cedera selepas terkena tembakan tentera Israel ketika satu operasi di utara bandar Jenin di Tebing Barat yang diceroboh hari ini, lapor agensi berita Palestin, Wafa.
“Pada pagi tadi, tentera Israel menyerang sebuah rumah menggunakan peluru berpandu dan mencederakan seorang belia Palestin di pinggir kem pelarian Jenin, menurut sumber tempatan.
“Serbuan itu mencetuskan konfrontasi ganas, yang menyaksikan pihak tentera melepaskan tembakan peluru hidup ke arah anak muda yang cuba menghalang laluan mereka, dengan seorang daripadanya terkena tembakan di bahagian perut,” lapor Wafa.
Menurut laporan itu, mangsa dikenal pasti sebagai Daoud al-Zubaidi dan dia dibawa ke hospital selepas kejadian berkenaan.
Seorang jurugambar AFP berkata, tentera Israel melempar bom tangan ke arah sebuah rumah seorang suspek di kem pelarian Jenin.
Konfrontasi hari ini berlaku hanya dua hari selepas wartawan veteran Al Jazeera, Shireen Abu Akleh, mati ditembak ketika serbuan Israel di Jenin.
Sementara itu di Baitulmaqdis, Reuters melaporkan serbuan tentera Israel di Jenin hari ini, yang juga lokasi Shireen mati ditembak, mencederakan sekurang-kurangnya empat individu, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Tentera Israel memaklumkan, pihaknya menjalankan aktiviti cegah keganasan di pinggir Jenin, di mana wartawan Al Jazeera itu mati ditembak Rabu lalu.
Ratusan pegawai Israel dikerah ke kawasan pengebumiannya hari ini, bagi memastikan majlis itu berjalan lancar tanpa sebarang konfrontasi.
Kematian Shireen mencetus kecaman besar-besaran pada peringkat antarabangsa.
Rakaman video selepas wanita wanita itu cedera memaparkan badan wartawan berusia 51 tahun itu terkulai memakai jaket biru tertera perkataan ‘Press’ (media).
Wanita itu mengalami kecederaan di kepala akibat tembakan ketika membuat liputan pertempuran antara tentera Israel dengan militan Palestin di Jenin.
Sekurang-kurangnya dua rakan setugas yang berada bersama Shireen memaklumkan mereka diserang tembakan penembak hendap Israel. – AGENSI
3 rakyat Palestin maut dalam operasi Israel
Tentera Israel tembak belia Palestin di Jenin