Kashmir berubah jadi wilayah di bawah pengawasan

Kashmir berubah jadi wilayah di bawah pengawasan
SRINAGAR: Pekedai di wilayah Kashmir yang ditadbir India membelanjakan ratusan dolar untuk memasang kamera keselamatan yang diwajibkan pihak berkuasa, dalam usaha yang disifatkan aktivis bertujuan mewujudkan wilayah di bawah pengawasan.
Kerajaan nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi, bergelut menghentikan pemberontakan dan memperkukuh kawalan di wilayah majoriti Muslim itu, dengan sejumlah besar penduduknya enggan menjadi sebahagian daripada India.
Sekitar separuh juta tentera ditempatkan di wilayah Kashmir yang diperintah India, dengan sebahagian wilayah lagi ditadbir Pakistan, dan tindakan keras pada 2019 menyaksikan sekatan terhadap protes dan kebebasan media buat pertama kali.
Setakat ini, sejumlah besar kamera keselamatan dipasang di hampir setiap jalan raya di Srinagar, bandar terbesar di Kashmir, serta beberapa bandar lain.
Namun, bulan lalu, pihak berkuasa tempatan mengarahkan pekedai memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) dalam premis, dengan perbelanjaan sendiri, untuk meningkatkan keupayaan polis memantau pergerakan penduduk.
Arahan itu dikeluarkan atas alasan untuk mengekang jenayah serta elemen antisosial dan antinasional, selain menggariskan standard minimum bagi resolusi kamera, kemampuan inframerah dan jarak.
Sistem yang beroperasi setiap masa itu perlu merakam dan menyimpan rakaman selama 30 hari, dan perlu diberikan jika diminta pihak polis dan agensi penguatkuasaan lain, tanpa memerlukan perintah mahkamah.
Kegagalan mematuhi arahan itu, yang berkuat kuasa April lalu, boleh menyebabkan mereka didenda atau dipenjara selama sebulan.
Penyedia sistem pengawasan di Srinagar berkata, pemasangan CCTV yang mematuhi piawaian ditetapkan, membabitkan kos sekitar AS$524 (RM2,303) bagi setiap pekedai.
Disebabkan wilayah itu kerap mengalami gangguan bekalan elektrik, pekedai juga perlu membayar kos bateri sokongan bagi memastikan rakaman tidak terganggu.
“Spesifikasi yang diberikan dalam arahan itu menyebabkan saya tidak mampu untuk menyediakannya, apatah ketika ini perniagaan tidak begitu baik,” kata Bilal Ahmed yang memiliki kedai aiskrim di Srinagar.
Disebabkan itu, Bilal mahu menunggu dan melihat sama ada pekedai lain akan mematuhi arahan berkenaan sebelum memutuskan untuk melaksanakannya, namun kebanyakan pekedai sudah memasangnya bagi mengelak dikenakan tindakan.
“Arahan ini salah. Tapi jika ini yang mereka mahukan, kos pemasangan sepatutnya ditanggung oleh kerajaan,” kata seorang lagi pekedai Srinagar yang enggan identitinya didedahkan kerana bimbang diambil tindakan oleh kerajaan India. – AFP
KES DADAH: NIEZAM ZAIDI MENGAKU BERSALAH
Kashmir berubah jadi wilayah di bawah pengawasan
PH: Lantikan Tajuddin Sebagai Duta Memalukan, Don’t Probok Probok Lah…