PPM rampas dua bot, tahan 11 nelayan Vietnam

PPM rampas dua bot, tahan 11 nelayan Vietnam
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua bot bersama 11 nelayan warga Vietnam kerana menceroboh perairan negara di kawasan utara laut Pulau Langkayan, Sandakan, semalam.
Mereka ditahan bersama peralatan menangkap gamat dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.8 juta.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin, berkata bertindak atas maklumat risikan awam dan tindakan pantas Unit Risikan Marin PPM Sandakan merangka pengoperasian membanteras pencerobohan bot-bot asing di kawasan berkenaan.
Katanya, hasil operasi itu berjaya menahan dua bot nelayan warga Vietnam.
“Kita menahan 11 individu terdiri daripada juragan dan awak-awak warga Vietnam berusia lingkungan 10 hingga 49 tahun.
“Pemeriksaan awal didapati semua suspek tidak mempunyai keterangan diri serta tiada kebenaran atau permit bagi menjalankan aktiviti menangkap hidupan laut di perairan negara secara sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad berkata, pihaknya turut merampas lapan set peralatan menangkap gamat dan hasil gamat yang diperoleh secara haram.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,873,000 keseluruhannya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 untuk juragan kapal dan Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 untuk peralatan perikanan.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah masuk ke negara ini,” katanya.
PPM rampas dua bot, tahan 11 nelayan Vietnam
PH: Lantikan Tajuddin Sebagai Duta Memalukan, Don’t Probok Probok Lah…