Isu kartel ayam: MyCC siasat suspek, saksi

Isu kartel ayam: MyCC siasat suspek, saksi
MyCC kini di peringkat akhir melengkapkan siasatan terhadap sekumpulan syarikat dalam rantaian bekalan ternakan ayam berhubung kemungkinan wujudnya kartel yang mempengaruhi harga dan bekalan. – Foto hiasan BERNAMA

Isu kartel ayam: MyCC siasat suspek, saksi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini di peringkat akhir melengkapkan siasatan terhadap sekumpulan syarikat dalam rantaian bekalan ternakan ayam berhubung kemungkinan wujudnya kartel yang mempengaruhi harga dan bekalan.

Syarikat terbabit terdiri daripada pengimport dan pengeluar sebagai komponen industri utama dalam pembekalan ayam di negara ini yang disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

Hingga kini, MyCC sudah melakukan serbuan, rampasan, analisis dokumen dan pengambilan kenyataan daripada beberapa suspek serta saksi.

Mendedahkan demikian, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, berkata keutamaan siasatan adalah untuk melindungi kepentingan pengguna dan mereka yang disiasat memainkan peranan besar dalam mempengaruhi harga dan bekalan ternakan di negara ini.





Isu kartel ayam: MyCC siasat suspek, saksi
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail

“Kita menjangkakan siasatan mampu diselesaikan secepat mungkin dalam suku ketiga tahun ini. Pihak yang disiasat pula membabitkan salah satu komponen utama industri yang boleh mempengaruhi harga serta bekalan,” katanya kepada BH.

Ia susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Januari lalu supaya MyCC menyiasat kemungkinan wujudnya kartel membabitkan isu harga ayam dan telur ayam seperti diputuskan dalam Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL).

Keputusan itu merupakan satu daripada sembilan keputusan diambil NACCOL dalam usaha mengawal kenaikan harga barangan di pasaran yang menimbulkan keresahan orang ramai, terutama ketika penularan pandemik COVID-19.

Dalang kenaikan harga ayam berdepan tindakan tegas

Mengulas lanjut status siasatan, Iskandar memaklumkan, daripada maklumat yang diterima ia boleh dipercayai dalam usaha mencari dalang di sebalik isu kenaikan harga dan bekalan ayam serta telur.

“Maklumat yang kami terima sebelum ini boleh dipercayai dan kami akan pastikan dalang kepada isu harga dan bekalan dikenakan tindakan tegas.





“Jika pengeluaran tidak dilakukan dengan cekap atau bekalan ayam kurang berbanding permintaan yang sentiasa tinggi disebabkan ia sumber protein utama negara, harga bahan mentah ini boleh naik.

“Justeru, kami sedang bertungkus-lumus menyelesaikan penyiasatan secepat mungkin dan ada juga yang tampil untuk bekerjasama dengan kami,” katanya.

Ditanya sama ada ‘kartel ayam’ sememangnya wujud sehingga mempengaruhi bekalan dan harga ternakan itu di pasaran, Iskandar bagaimanapun berkata, perkara itu belum dapat dibuktikan lagi.

“Selama ini dakwaan kartel dalam industri ayam tidak jelas. Cuma, baru-baru ini kita dapat maklumat berhubung elemen berkaitan yang belum dapat dibuktikan lagi. Bersama bukti ini sebab itulah kami melakukan penyiasatan,” katanya.

Isu kartel ayam: MyCC siasat suspek, saksi
Seorang pengguna memilih ayam yang dijual dengan harga RM9.50 sekilo (harga siling kerajaan RM8.90 sekilo) termasuk upah proses dan perkhidmatan ketika tinjauan harga ayam di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur pada Rabu lalu. – Foto hiasan NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Beliau berkata, syarikat yang terbabit dalam siasatan setakat ini juga memberikan kerjasama yang baik.





Katanya, jika terbukti pihak terbabit melanggar akta, ia dapat mengesahkan bahawa turun naik harga ayam di pasaran yang berlaku bukanlah disebabkan oleh kegagalan dasar kerajaan.

“Sepatutnya industri ayam kita cekap kerana negara kita mempunyai beberapa pemain besar yang kukuh dan aktif dalam pengeluaran ayam,” katanya.

Denda maksimum hingga 10 peratus perolehan syarikat

Mengikut Seksyen 4 Akta Persaingan 2010, mereka yang didapati bersalah boleh didenda maksimum hingga 10 peratus daripada perolehan syarikat.

Iskandar turut menambah, industri ayam di Malaysia mempunyai pemain bersepadu yang mengawal rantaian bekalan di peringkat huluan membabitkan makanan ayam dan anak ayam sehingga peringkat pertengahan serta hiliran, termasuk proses penyembelihan, pembungkusan pemborongan serta pemasaran dan penjualan pada peringkat runcit di pasar harian, pasaraya dan kedai runcit.

Katanya, mengikut penyelidikan MyCC, terdapat sekumpulan syarikat-syarikat besar yang mengawal kira-kira 80 peratus industri ayam yang mempunyai peranan dalam ketiga-tiga peringkat.





“Namun ia tidak salah kita gelarkannya sebagai pemain bersepadu (integrator) namun ia menjadi kesalahan jika ada yang bersekongkol menetapkan harga untuk mana-mana produk,” katanya.

MyCC siasat 500 syarikat disyaki tipu tender

Isu kartel ayam: MyCC siasat suspek, saksi


​Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman :


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi : – MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392





Penderaaan rumahtangga : –  Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214. Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda.

Pemansuhan AP Bertentangan Dengan Perlembagaan Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker