Malaysia, Jepun setuju hubungan dinaik taraf lebih komprehensif

Malaysia, Jepun setuju hubungan dinaik taraf lebih komprehensif
Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Kishida di Tokyo semalam. -Foto Bernama

Malaysia, Jepun setuju hubungan dinaik taraf lebih komprehensif

TOKYO: Malaysia dan Jepun bersetuju supaya hubungan dua hala dinaikkan taraf ke peringkat yang lebih komprehensif, dan Dasar Pandang ke Timur (DPT) diteruskan dengan membina kerjasama baharu seperti dalam bidang tenaga, bandar pintar, alam sekitar dan perubahan iklim.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bertemu Perdana Menteri, Jepun Fumio Kishida di Tokyo semalam, telah mencadangkan supaya hubungan Malaysia-Jepun dinaik taraf kepada “Comprehensive Strategic Partnership” (CSP) di samping menyatakan kesediaan meneruskan Dasar Pandang ke Timur, dan ia disambut baik oleh Kishida.

Ismail Sabri berkata, beliau dan Kishida bersetuju supaya perbincangan lanjut diadakan bagi menyelaras penaikan taraf hubungan Malaysia-Jepun itu.

Hubungan Malaysia-Jepun dinaik taraf daripada “Enhanced Partnership” ke Strategic Partnership pada 2015.





Menurut Ismail Sabri, Kishida pernah melawat Malaysia pada 2015 sebagai Menteri Luar ketika itu, dan pada tahun berkenaan, taraf hubungan Malaysia-Jepun telah ditingkatkan daripada “Enhanced Partnership” kepada “Strategic Partnership.”

Dalam pertemuan yang berlangsung di Kantei atau Pejabat Perdana Menteri Jepun semalam, Ismail Sabri mengadakan perbincangan dua hala dengan Kishida bagi memperkukuh hubungan Malaysia-Jepun yang sekian lama terjalin dan ia merupakan pertemuan bersemuka kali pertama antara mereka.

Ismail Sabri dan Kishida pernah berhubung menerusi telefon pada 2 Disember 2021 dan 20 April lepas bagi membincangkan pengukuhan hubungan Malaysia-Jepun, serta membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa, yang Malaysia dan Jepun mempunyai kepentingan bersama.

Ini juga adalah kali pertama Kishida menjadi hos kepada perdana menteri Malaysia sejak memegang jawatan sebagai perdana menteri Jepun pada Oktober tahun lepas.

Tahun 2022 adalah ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-Jepun dan juga ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur.





Ismail Sabri berkata, beliau telah menyampaikan penghargaan kepada Kishida di atas sokongan dan bantuan Jepun dalam usaha-usaha pembangunan di Malaysia dalam konteks pelaksanaan DPT.

“Kita telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk meneruskan DPT dengan Jepun secara membina program kerjasama baharu seperti tenaga, bandar pintar, alam sekitar dan perubahan iklim,” katanya.

Ismail Sabri berkata, dalam perbincangannya dengan Kishida, mereka berdua bersetuju supaya kerjasama bidang ekonomi perdagangan dan pelaburan terus ditingkatkan.

Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia sejak 2015. Nilai dagangan pada tahun 2021 berjumlah AS$35.9 bilion, meningkat kira-kira 20 peratus berbanding AS$29.6 bilion pada tahun 2020.

Jepun adalah pelabur ketiga terbesar dalam kategori jumlah projek sektor pembuatan.





Nilai pelaburan dari tahun 1980 hingga 2021 adalah AS$27.6 bilion dengan 2,709 projek sektor pembuatan dilaksanakan.

Pada 2021, sebanyak AS$1.81 bilion jumlah pelaburan telah dicatatkan, melibatkan 25 projek sektor pembuatan diluluskan.

Ismail Sabri berkata beliau juga memberi jaminan kepada Kishida bahawa proses penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menyatakan masalah teknikal berhubung penubuhan universiti itu telah selesai.

Hasrat untuk menubuhkan sebuah kampus cawangan insitutsi pengajian tinggi (IPT) Jepun di Malaysia telah diutarakan pada Jun 2018 bagi memberi lebih pendedahan dan akses kepada sistem pendidikan Jepun kepada pelajar Malaysia.





“Kita beri jaminan universiti (itu) dapat ditubuhkan dalam masa terdekat,” kata Ismail Sabri. – BERNAMA

Jepun sedia terima pelarian serangan Russia di Ukraine

Malaysia, Jepun setuju hubungan dinaik taraf lebih komprehensif


Lawati Laman :

Lawati Laman :


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi : – MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Penderaaan rumahtangga : –  Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.





KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214. Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda.


Mesyuarat Khas Bar Council Tidak Cukup Korum?

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker