Pemandu maut tercampak keluar dari kereta

Pemandu maut tercampak keluar dari kereta
KOTA BELUD: Seorang pemandu tercampak keluar dari kereta dipandunya dan maut dalam kemalangan di Jalan Kota Belud-Kota Marudu, di sini malam tadi, yang turut menyebabkan dua penumpang kenderaan sama cedera, termasuk seorang parah.
Dalam nahas kira-kira jam 9 malam itu, lelaki berusia lingkungan 40-an berkenaan cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dipandu mangsa dari arah Kota Marudu menuju Kota Kinabalu sedang melalui laluan berbukit sebelum kemalangan.
“Pemandu disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik di lokasi kejadian, manakala lelaki berusia 33 tahun di kerui penumpang hadapan dilaporkan parah dan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun di kerusi penumpang belakang cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, mayat serta dua mangsa yang terselamat dihantar ke hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.