Ditikam bekas kekasih gara-gara tolak cinta
Ditikam bekas kekasih gara-gara tolak cinta

MELAKA: Dipercayai berang apabila pelawaan untuk keluar bersama ditolak, seorang lelaki menikam bekas kekasihnya di kaki lima sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, dekat sini, petang semalam.
Turut cedera rakan wanita bekas kekasih suspek yang cuba menghalang tindakan lelaki berusia 22 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 6.26 petang.
Menurutnya sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah kemudian dikejarkan ke lokasi sebelum menemui dua mangsa wanita berusia 23 dan 25 tahun yang cedera.
“Kedua-dua mangsa mendakwa sedang berjalan balik dari tempat kerja di hotel berkenaan sebelum didatangi bekas teman lelaki wanita berusia 23 tahun.
“Suspek dikatakan terus mengeluarkan senjata dipercayai pisau sebelum cuba menikam wanita terbabit (bekas teman wanita), namun sempat ditahan dengan tangan selain pisau turut terkena bahagian kaki mangsa.
Disyorkan Untuk Anda :
- Akta SOSMA Di Lanjutkan Tetapi Di Mana Profesionalisma Ahli Parlimen!!!
- Siapakah Sebenarnya Yang Telah Mengkhianati Asas Demokrasi Di Malaysia?
- Terdedah Penipuan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah
“Dalam pergelutan itu bekas teman wanita suspek terjatuh dan rakannya yang cuba membantu turut cedera di telinga akibat terkena pisau suspek,” katanya ketika dihubungi.

Christopher berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca apabila bekas teman wanita suspek menolak ajakan untuk keluar bersama setelah wanita itu memutuskan hubungan mereka kira-kira dua minggu lalu.
“Suspek dipercayai menaiki sebuah kereta berdasarkan nombor kenderaan yang digunakan dicam oleh saksi di tempat kejadian.
“Gambar suspek juga sudah diperolehi dan disahkan oleh mangsa dan usaha mengesannya kini giat dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah.